Nasib MB Negeri Sembilan pada PRN, Anwar masih berteka-teki

Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun telah membuktikan kredibilitinya sepanjang lima tahun menerajui kerajaan negeri, menerusi pelbagai pencapaian yang berkaitan dengan pelaburan dalam negeri.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bagaimanapun dilihat masih berteka-teki mengenai sama ada Aminuddin yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Sikamat, akan bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Saya gembira dengan prestasinya dan berpuas hati dengan perlaksanaan tadbir urus negeri. Negeri Sembilan amat penting dari segi pelaburan kerana ia terletak berhampiran dengan Lembah Klang dan amat strategik.

"Perbincangan akhir (mengenai pencalonan Aminuddin) akan diadakan dengan parti komponen, buat masa ini dia (Aminuddin) kelihatan seumpama ‘poster boy’ kerana dia Menteri Besar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan  akan bertanding pada PRN kali ini.

Pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14), PH memenangi 20 kerusi, dengan DAP (11), PKR (enam) dan Amanah (tiga) manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh 16 kerusi, dengan Umno (15) dan MIC (satu).

Sementara itu Aminuddin percaya beliau masih mendapat sokongan pada PRN yang akan diadakan 12 Ogos ini.

“Insya-Allah saya masih lagi disokong,” katanya ringkas, ketika ditemui media pada sesi makan tengah hari yang disertai Anwar di Taman Ampangan, di Seremban.

Pada PRU14, Aminuddin memenangi kerusi Sikamat dengan majoriti 3,413 undi menewaskan tiga calon lain dari BN, PAS dan seorang calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN bagi enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos dipilih sebagai hari pengundian.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan