Nik Abduh umum 'berpuasa' dari politik

Malaysiakini
 
Anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, hari ini mengumumkan dia akan "berpuasa" daripada politik untuk suatu tempoh yang belum diputuskan.

Kata Nik Abduh, apa yang sedang dihadapi sekarang merupakan detik yang paling sukar untuk dirinya dan keluarga.

Tanpa menjelaskan apa yang dirujuknya dengan lebih lanjut, dipercayai Nik Abduh membuat keputusan tersebut ekoran kemelut politik yang membayangi langkah PAS menyertai pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Di sebalik keberadaannya yang boleh dianggap berprofil tinggi, Nik Abduh tidak dicalonkan untuk mewakili PAS dalam PRN walaupun namanya ada dikaitkan dengan kerusi tertentu di Kelantan.

"Saya puasa dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh. Ia tempoh paling sukar untuk saya dan bonda," katanya dalam hantaran di media sosial petang ini.

Pernah menjadi ketua Pemuda PAS Malaysia serta memperoleh undi terbanyak bagi jawatan ahli Jawatankuasa PAS Pusat, perjalanan politik Nik Abduh mula merosot selepas beberapa insiden berlaku.

Dia pernah menjadi ahli parlimen Pasir Mas pada PRUI ke-13 sebelum dipindahkan ke Bachok untuk penggal seterusnya sebelum dia digugurkan apabila PRU ke-15 tiba pada tahun lalu.

Tiada nama sejak awal

Nik Abduh, 53, dikatakan berminat untuk bertanding dalam PRN kali ini di kawasan Dewan Undangan Negeri Chempaka yang pernah diwakili bapanya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai langkah terbarunya, Nik Abduh sempat mendoakan PAS agar terus "gagah".

"Semoga PAS bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depan negara," katanya.

Kemelut dalaman PAS Kelantan menjadi bertambah menarik apabila dua hari lalu adik Nik Abdul Aziz, Nik Din Nik Mat, mendakwa Mohd Amar merupakan dalang di sebalik ketiadaan nama Nik Abduh sebagai calon PRN Kelantan.

Sedangkan katanya dia sendiri bertemu dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Rusila pada 23 Jun lalu dan diberi jaminan bahawa Nik Abduh akan dicalonkan.

“Haji Hadi maklumkan parti memang perlukan Nik Abduh kerana dia seorang yang cerdik, kerjanya bagus, dan rajin bersuara di parlimen," katanya dalam video tular itu.

Menanggapi dakwaan Nik Din, Mohd Amar yang juga timbalan presiden PAS mendakwa dia menjadi mangsa fitnah bapa saudara Nik Abduh berkenaan.

Dia juga menjelaskan nama Nik Abduh memang tidak tersenarai sejak awal lagi.

“Itu fitnah bila mengatakan saya yang menghalang sedangkan dia (Nik Din) tidak terbabit dalam mesyuarat pimpinan parti selain tiada jawatan dalam parti," kata Mohd Amar.

Untuk rekod sebelum ini Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Nik Abduh menolak dua kerusi yang ditawakan kepadanya.

Kata Tuan Ibrahim, ketika menolak tawaran berkenaan Nik Abduh berkata dia tidak bertanding pun tidak mengapa kerana mahu menumpukan perhatian kepada sekolah agama yang diuruskannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan