Penyokong PAS DUN Bayan Lepas kena kencing

PAS ajak ahli lihat parti gabungan PN sebagai kawan, bukan musuh
Malaysiakini

PAS sekali lagi mengingatkan ahli dan pemimpinnya agar walak kepada keputusan parti dan tidak melawan arahan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli dan kepemimpinan parti itu tidak seharusnya menentang keputusan parti sama ada pihak yang disokong dicalonkan atau sebaliknya dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

"Parti tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin demi mempastikan PN mencapai kejayaan dalam PRN kali ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia muncul sejurus selepas media melaporkan Presiden Gerakan Dominic Lau disahkan menjadi calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.

Bayan Lepas merupakan satu daripada tiga kerusi DUN yang diletakkan di bawah kawasan parlimen Balik Pulau.

Semua DUN terbabit menyaksikan sekurang-kurangnya 65 peratus daripada pengundi adalah orang Melayu.

Semalam beberapa ketua cawangan PAS Bayan Lepas menyatakan kemarahan mereka apabila Lau bakal menjadi calon PN di kawasan itu ketika mereka sebenarnya mahukan setiausaha badan perhubungan parti terbabit, Iszuree Ibrahim, sebagai wakil.

Malah salah seorang anggota Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya PAS Pulau Pinang mengecam Lau sebagai bacul dan penakut kerana mahu bertanding di kawasan majoriti Melayu sedangkan calon lain dari Gerakan dibiarkan berdepan dengan DAP di kawasan Cina.

Ajak perkukuhkan saf

Ketika majlis pengumuman calon-calon PN Pulau Pinang berlangsung malam tadi, nama untuk Bayan Lepas tidak diuar-uarkan, namun nama Lau ada dalam senarai yang diedarkan kepada media.

Kira-kira jam 12 tengah malam tadi, Iszuree dilihat mengemas kini hantaran Facebook dengan membayangkan kepasrahannya selepas "disailang" dua kali.

Beberapa jam kemudian dia kemudian berkongsi klip video TikTok mengenai bantahan ketua-ketua cawangan PAS Bayan Lepas.

Kelmarin nama Lau dikaitkan dengan kerusi DUN Teluk Air Tawar dan Permatang Berangan - juga bermajoriti Melayu - yang terletak di bawah parlimen Tasek Gelugor.

Bagaimanapun pemimpin Pemuda PAS kawasan terbabit memberi amaran kepada Lau agar tidak 'bermain api' dan membatalkan hajatnya untuk bertanding di situ.

Awal petang ini Lau mengesahkan kepada Malaysiakini yang dia sudah dimuktamadkan menjadi calon PN di Bayan Lepas.

Tuan Ibrahim berkata PAS sudah memuktamadkan senarai calon yang akan mewakili PN dalam PRN tidak lama lagi dan semua pihak terikat kepada peraturan parti.

Dia juga menjelaskan PAS membuat keputusan mengenai penggunaan logo PAS atau PN yang akan digunakan nanti.

"Harus diingatkan, sebagai satu team kita mesti melihat gabungan sebagai kawan bukan musuh, manakala perbezaan pandangan perlu dirujuk kepada pimpinan tertinggi parti.

"Marilah kita perkukuhkan saf, rapatkan hubungan dengan semua pendukung PN demi mencapai kejayaan dalam PRN kali ini," katanya.

-----------

Presiden Gerakan sahkan bertanding di DUN Bayan Lepas
Malaysiakini

Presiden Gerakan Dominic Lau mengesahkan bahawa dia akan bertanding di kerusi Bayan Lepas di Pulau Pinang, yang sepatutnya diperuntukkan kepada sekutunya PAS.

Dalam mesej teks kepada Malaysiakini tengahari tadi, dia menjawab, “Bayan Lepas” apabila ditanya sama ada dirinya akan bertanding di kerusi Machang Bubok atau sebaliknya.

Rakan-rakan Lau kemudian menjelaskan bahawa senarai yang memaparkan bahawa Lau bertukar ke Machang Bubok adalah palsu.

Malam tadi, Perikatan Nasional tidak mengumumkan calonnya untuk kerusi Bayan Lepas semasa menyenaraikan barisan mereka di DUN Pulau Pinang.

Terdahulu, ahli PAS Bayan Lepas mengadakan bantahan terhadap Lau, mengancam akan memboikotnya jika dia bertanding di kerusi Bayan Lepas.

Lau dilabel sebagai "penakut" dan "bacul" kerana dilihat mengelak daripada bertembung dengan DAP dalam PRN bulan depan dan memilih untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang.

Penyandang DUN Bayan Lepas adalah Azrul Mahathir Aziz dari Amanah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan