Sering pinjam duit disyaki punca lelaki Nepal dibunuh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga asing maut dipercayai dijerut dan dipukul akibat dendam kerana sering meminjam dan mencuri wang rakan sekerja dalam kejadian di rumah kedai Taman Merdeka Jaya, Melaka.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata mayat warga Nepal berusia 32 tahun itu ditemui dalam tandas selepas pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira 6.42 petang semalam.

Katanya, siasatan mendapati mangsa dan suspek saling mengenali dan rakan sekerja selama tiga bulan.

“Soal siasat awal dijalankan mendapati motif kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dan berdendam dengan mangsa kerana si mati selalu meminjam dan mencuri duitnya, selain mangsa turut dikatakan sering lambat membuka pintu.

“Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan jerutan pada badan mangsa,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan tidak hadir bekerja pada hari kejadian sebelum majikannya ke asrama pekerja bagi mencarinya dan menemui mayat lelaki terbabit.

“Mayat berkenaan ditemui di tandas di premis itu, siasatan turut menemui sebatang kayu dan kabel telefon berhampirannya,” katanya.

Katanya, polis berjaya menjejaki suspek yang juga warga Nepal berusia 20 tahun di hentian rehat di Pedas Linggi, kira-kira 11.30 malam semalam.

Christopher berkata, suspek direman seminggu hinga 19 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan