Tak ada ke pemimpin PN yang berani berdebat dengan Rafizi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pengarah Pilihan Raya PAS dan Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor menolak cabaran Rafizi Ramli untuk berdebat dengan alasan ia tidak menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Sanusi berkata, pengarah pilihan raya PKR itu sepatutnya menjaga kementerian ekonomi dan “menggunakan formula-formula ajaibnya” (untuk memulihkan ekonomi).

Beliau merujuk kepada formula diilhamkan Rafizi ketika PKR menjadi pembangkang, antara lainnya berkaitan isu ekonomi, harga barangan yang tinggi dan mengurangkan harga kereta.

Sanusi mempersoalkan kewajaran debat itu kerana PRN enam negeri bulan depan tiada kena mengena dengan kedudukan Rafizi sebagai menteri ekonomi.

“Keadaan ekonomi negara kritikal sekarang, debat dengan saya tak akan ubah kedudukan ekonomi negara,” katanya menurut Malaysiakini.

Menurut Harian Metro, timbalan presiden PKR itu berkata, beliau memilih Sanusi untuk berdebat secara langsung di televisyen kerana yakin ia akan menjadi “hiburan terbaik” menjelang PRN 12 Ogos ini.

“Oleh kerana Azmin, bekas menteri ekonomi sampai sekarang (tidak sahut cabaran debat). Sudahlah lari dari kerusi Bukit Antarabangsa, yang itu pun takut, sekarang orang ajak berbincang pasal ekonomi pun takut.

“Jadi saya ingat yang seterusnya dalam kalangan pimpinan PN ini yang paling berani adalah Sanusi.

“Oleh itu, lepas ini insya-Allah saya nak jemput Sanusi mari berdebat dalam televisyen. Saya yakin ramai, TV3 ke, Astro ke, semua akan berebut-rebut,” katanya dipetik sebagai berkata.

Dalam ceramah Selasa lalu, Rafizi mencabar Azmin berdebat. Katanya, debat dapat memulakan budaya persaingan idea bagi membantu rakyat, dan tidak tertumpu kepada retorik “siapa lebih Melayu”.

“Saya dah bentangkan satu perkara yang mudah saja, macam mana kita nak tukar solar dan atap nak bantu rakyat. Saya nak tunggu daripada PN apa idea mereka, idea konkrit macam mana nak bantu rakyat,” katanya.

Katanya, debat itu boleh diadakan dalam tempoh sepanjang dua minggu kempen sebagai cara terbaik untuk “menutup” mulut Sanusi daripada memperlekeh atau menghina pemimpin lawannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan