Tiga exco Selangor tak pertahan kerusi dalam PRN

Malaysiakini
story-image

Tiga Exco Selangor dilaporkan tidak akan mempertahankan kerusi mereka dalam PRN akan datang, bagi memberi laluan kepada muka baru dan memberi tumpuan kepada tanggungjawab lain.

Menurut Utusan Malaysia, tiga Exco tersebut adalah Teng Chang Khim (Industri dan Perdagangan), Dr Siti Mariah Mahmud (Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga) dan V Ganabatirau (Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin).

Teng dan Siti Mariah tidak akan bertanding ekoran faktor usia manakala Ganabatirau ingin memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya selaku ahli parlimen Klang.

Teng daripada DAP telah menjadi Adun selama empat penggal di Bukit Gasing, Bandar Klang, Sungai Pinang dan Bandar Baru Klang manakala Siti Mariah dari Amanah menjadi ahli parlimen Kota Raja selama tiga penggal dan satu penggal sebagai adun Seri Serdang.

Sementara Ganabatirau, juga dari DAP, pernah menjadi Adun Kota Alam Shah dan menyandang kerusi DUN Kota Kemuning.

Timbalan Pengerusi PH Selangor Borhan Aman Shah dipetik berkata yang dia tidak menolak ada lagi penyandang yang akan memberi laluan kepada muka baru dalam PRN yang bakal diadakan.

"Setakat ini, yang sah maklum tidak mahu bertanding seperti Chang Khim dan Dr. Siti Mariah, selain itu ada juga yang berkemungkinan berhasrat sedemikian, tetapi masing-masing meletakkan keputusan itu kepada parti sama ada masih memerlukan mereka atau tidak,” katanya.

Dia berkata PH akan meletakkan muka baru sebagai calon, termasuk dari kalangan wanita, dalam PRN yang dijangka akan berlangsung bulan depan.

Tumpu Parlimen

Ganabatirau mengesahkan dengan Utusan Malaysia yang dia tidak akan bertanding dalam PRN nanti kerana ingin fokus di kerusi Parlimen Klang yang dimenanginya pada PRU15.

"Sudah lama saya maklumkan kepada parti sejak menang di Klang, sudah dua penggal saya menjadi Adun dan Exco. Itu cukup memberikan saya pengalaman untuk memberi tumpuan kepada isu-isu di persekutuan dan Putrajaya.

“Bagaimanapun, saya turut memaklumkan kepada parti meskipun tidak lagi bertanding, Kota Kemuning mestilah terus diwakili oleh wakil rakyat daripada DAP,” katanya lagi.

Ganabatirau bukan satu-satunya Adun Selangor yang menyertai Dewan Rakyat selepas PRU15.

Menteri besar sementara Amirudin Shari (PKR) dan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail juga masing-masing menang di kerusi Parlimen Gombak dan Ampang.

Penyandang DUN Taman Templer Mohd Sany Hamzan (Amanah) pula menang di Parlimen Hulu Langat manakala penyandang DUN Sijangkang Ahmad Yunus Hairi (PAS) menang di Parlimen Kuala Langat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan