Zaki Yamani: Bukan saya yang kena minta maaf

Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Kepada Pakcik Zaki Yamani, awak dah buat saya kena marah dan huru-harakan nama saya hari ini. Siapa nak jawab bila ayah saya dah 'sound' (marah) ni?"

Itu luahan penyanyi, Ahmad Zaki Yamani, 17, yang juga anak penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah di Instagram yang menjadi mangsa salah faham beberapa pihak berkaitan isu politik.

Ia berikutan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ciapan pengguna yang serupa namanya Zaki Yamani yang menyentuh isu berkaitan kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kini dirawat di hospital.

Zaki turut memuat naik tangkap layar nasihat bapanya yang turut salah sangka terhadapnya.

Jamal menegurnya agar tidak mencampuri urusan berkaitan politik tanah air.

Salah faham ini bermula apabila media melaporkan kenyataan Perdana Menteri di Twitter meminta Zaki Yamani untuk membuat permohonan maaf.

Zaki adalah pembantu kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ia berikutan beliau memuat naik ciapan dengan berdoa agar Allah mengambil nyawa Hadi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, Zaki terpaksa membuat penjelasan ini kerana menerima banyak pertanyaan daripada pengikutnya di media sosial kerana menyangka dia individu yang dimaksudkan.

Sementara itu, Jamal menerusi WhatsApp turut memaklumkan Zaki Yamani yang dimaksudkan ialah Ahmad Zaki Yamani, seorang pembantu kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ia sekali gus menepis salah faham mengaitkan anaknya dalam isu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan