Ambulans bawa pesakit sudah meninggal terbabit kemalangan

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

Chukai: Ambulans yang dalam perjalanan ke Hospital Kemaman dan membawa pesakit sudah meninggal dunia, terbalik selepas kemalangan dengan pacuan empat roda (4x4).

Kejadian berlaku di Kilometer 1 Jalan Chukai-Air Putih di sini pada 10.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila 4x4 dipandu lelaki berumur 59 tahun membelok ke kanan dari persimpangan lampu isyarat, menghala ke Batu 2 1/2.

"Dalam masa sama, ambulans dinaiki pemandu berusia 37 tahun dan penumpang iaitu Penolong Pegawai Perubatan berusia 27 tahun serta pesakit yang juga guru berusia 55 tahun masuk ke arah laluan 4x4 dari sebelah kanan dan melanggar bahagian tepi belakang kenderaan itu.

"Akibat pelanggaran, ambulans itu terbalik ke sebelah kiri jalan. Pesakit pula disahkan sudah meninggal dunia sebelum kemalangan itu berlaku," katanya hari ini.

Menurutnya, pemandu ambulans cedera ringan, sementara Penolong Pegawai Perubatan serta pemandu pacuan empat roda tidak cedera.

"Mayat guru terbabit dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan