Amirudin: Istana Selangor akan umumkan calon MB yang baharu

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu akan diumumkan oleh pihak istana.

Beliau berkata pengumuman itu adalah bidang kuasa istana dan beliau tidak boleh mengumumkan perkara itu.

"Saya mengadap Tuanku seperti biasa, tanya khabar dan merancang beberapa perkara… hal biasa mengenai perkembangan negeri pencapaian ekonomi dan kesihatan Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah)," katanya ketika ditemui di hadapan Istana Bukit Kayangan di sini.

Ditanya mengenai pertemuan selama satu jam itu, ada membincangkan mengenai perlantikan Menteri Besar baharu, Amirudin bagaimanapun berkata, tidak semua perkara boleh didedahkan.

Mengulas mengenai senarai nama calon menteri besar, beliau berkata, perkara itu boleh ditanyakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana senarai itu dihantar oleh pemimpin berkenaan.

"Itu kena tanya Anwar Ibrahim kerana surat (senarai calon MB) itu dihantar oleh Anwar, saya datang untuk berbincang berkaitan beberapa hal negeri," katanya.

Terdahulu, Amirudin dilihat tiba di Istana Bukit Kayangan pada jam 2.34 petang.

Beliau menghabiskan masa selama sejam sebelum bergerak keluar dari kawasan istana.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Selangor dijangka mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Alam Shah, Klang pada Sabtu atau Isnin ini.

Amirudin pula dicadangkan untuk kekal mengetuai kerajaan negeri bagi penggal ke-15.

Antara calon lain yang dikatakan tersenarai sebagai calon menteri besar adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Dr Fahmi Ngah dan Adun Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan