Apa berlaku di Makkah?

Bharianonline 

Suasana di Masjidil Haram bertukar kelam-kabut apabila ribut dan hujan lebat berlaku secara tiba-tiba. Tangkap layar video tular
Suasana di Masjidil Haram bertukar kelam-kabut apabila ribut dan hujan lebat berlaku secara tiba-tiba. Tangkap layar video tular
MAKKAH: Suasana di Masjidil Haram bertukar panik seketika apabila ribut petir dan hujan lebat melanda Makkah dan kawasan sekitarnya secara tiba-tiba pada waktu Maghrib, semalam.

Berdasarkan video tular yang dikongsi di laman sosial, jemaah yang sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib dilihat cemas akibat ditiup angin kencang.

Pada masa sama, penghadang di pekarangan Masjidil Haram turut diterbangkan oleh angin kuat.

Dilaporkan, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang (waktu tempatan) memaksa jemaah yang sedang menunaikan umrah dan solat di kawasan sekitar Masjidil Haram lari bertempiaran mencari perlindungan.

Menurut seorang jemaah Malaysia, Zubir Mohd Yunus ketika dihubungi BH, ribut kuat disusuli hujan ais berlaku ketika beliau dalam perjalanan dari Taif menuju ke Makkah.

"Rombongan bas kami terpaksa berhenti beberapa kali kerana keadaan berbahaya.

"Bagaimanapun, kami selamat tiba di Makkah jam 8.30 malam. Keadaan di kota Makkah ditenggelami air hujan dan jalan begitu sesak," katanya yang sedang menunaikan umrah selama dua minggu di kota suci itu.

Sementara itu, menurut penduduk, ribut petir itu disifatkan antara yang terburuk selepas kejadian ribut yang menyebabkan tragedi kren tumbang pada tahun 2015.

Tular juga satu video yang menunjukkan kilat menyambar menara jam Abraj Al-Bait yang dikenali sebagai Menara Jam Makkah.

Fenomena itu berjaya dirakam orang ramai dan tular di media sosial.

Pihak berkuasa tempatan menyifatkan, hujan ribut berkenaan sebagai rahmat untuk Makkah kerana suhu di seluruh wilayah di Arab Saudi ketika ini semakin meningkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan