Bangunan runtuh: Doktor hampir ditimpa batu besar ketika cuba alih kereta

Bernama
story-image
Gegaran akibat struktur rasuk pada bumbung sebuah banguna komersial lima tingkat di Jalan Kuchai Lama, di Kuala Lumpur, runtuh malam tadi, dirasai sehingga ke bangunan sebelah.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 malam membabitkan Blok A, Bangunan Sri Desa Kuchai di Kuchai Entreprenuers Park, di Kuala Lumpur.

R Mercy, 21, seorang petugas klinik di blok B, kira-kira 70 meter dari lokasi runtuhan di blok A, berkata bunyi runtuhan berkenaan seakan guruh dan gegarannya terasa seperti gempa bumi.

“Waktu itu saya sedang bertugas dan hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh tiga pesakit yang datang ke klinik pada masa itu,” katanya kepada Bernama, ketika ditemui di lokasi.

Mercy berkata walaupun panik dengan kejadian itu, dia bergegas keluar bagi mendapatkan doktor bertugas yang ketika itu keluar untuk mengalihkan keretanya yang parkir di bangunan bersebelahan.

Sementara itu, Dr J Louis, 32, dari klinik sama, berkata dia nyaris maut ditimpa bongkah batu besar yang jatuh ketika beliau cuba mengalihkan keretanya, betul-betul di bawah lokasi runtuhan.

“Saya cuba mengalihkan kereta dan sedang leka memeriksa cermin sisi kenderaan yang patah terkena serpihan runtuhan, tiba-tiba ada bongkah batu besar terjatuh. Nasib baik, saya sempat elak dan melarikan diri sehingga kaki terseliuh, tetapi kereta remuk teruk,” katanya.

Dr Louis, berkata keretanya yang remuk hampir 50 peratus dan enjin tidak boleh dihidupkan kini masih berada di lokasi kejadian dan sedang menunggu trak tunda untuk dibawa keluar.

Bagi Pengurus Bangunan, K Veerthasalam, 55, dia sama sekali tidak pernah menjangkakan insiden sedemikian berlaku memandangkan tiada kerosakan atau isu berhubung struktur bangunan dilaporkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya bersyukur insiden ini berlaku waktu malam. Jika berlaku waktu puncak, saya tidak boleh bayangkan kerosakan dan kecederaan yang mungkin berlaku memandangkan kawasan ini sibuk di waktu siang,” katanya.

Veerthasalam turut melahirkan rasa bimbang sekiranya struktur bangunan berkenaan akan lebih teruk terjejas sehingga tidak boleh didiami apabila hujan berikutan keadaan atapnya yang telah runtuh.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi mendapati kawasan di sekitar Blok A Bangunan Sri Desa yang terjejas dalam insiden runtuhan itu dikawal pihak polis bagi tujuan keselamatan.

Dalam insiden tersebut, sekurang-kurangnya 10 kenderaan rosak teruk dan tiada kecederaan dilaporkan.

-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan