Berjaya akan buat laporan polis, heret Sanusi ke mahkamah

Malaysiakini

Kumpulan Berjaya Land menolak dakwaan terdapat "skandal" dalam projek pembersihan Sungai Klang, kata ketua pegawai eksekutifnya Syed Ali Shahul Hameed.

Syarikat itu berkata demikian setelah Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa rakan sejawatannya dari Selangor, Amirudin Shari terlibat dalam "skandal" dengan pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan.

Menerusi kenyataan, dia berkata, dakwaan itu dibuat secara melulu dan tanpa sebarang pengesahan mengenai kebenarannya serta berniat jahat.

“Ia jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi Berjaya Land dan merosakkan komitmen kami serta kerajaan negeri terhadap peningkatan negeri Selangor dan rakyatnya.

"Saya juga ingin menambah bahawa kami sedang mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis dan mengambil langkah undang-undang untuk melindungi hak kami dalam hal ini," katanya.

Syed Ali berkata, bahawa ucapan Sanusi mengandungi kenyataan yang berniat mengelirukan mengenai projek Gerbang Maritim Selangor.

Antaranya, katanya, dakwaan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) menjual 55 peratus saham dalam anak syarikat sepenuhnya miliknya kepada Berjaya Land adalah tidak benar sama sekali.

Dia juga menafikan dakwaan Sanusi bahawa Berjaya Land diberikan 600 ekar tanah negeri Selangor bernilai RM10 bilion secara percuma.

“Sebenarnya, hanya beberapa bidang tanah yang berjumlah seluas 103.6 ekar telah diluluskan pemilikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada sebuah syarikat tujuan khas melalui usahasama setelah tanah-tanah tersebut didapati bersesuian untuk pembangunan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 45 peratus saham di dalam syarikat usahsama adalah dipegang dan dimiliki oleh anak syarikat MBI.

“Berjaya Land (juga) adalah pihak yang dikehendaki untuk mengumpulkan dana untuk membayar premium bagi pemindahan hak milik tanah tersebut berdasarkan kadar pasaran.

“Berjaya akan mengumpulkan dana bagi JVCo untuk membayar premium RM113.1 juta tersebut,” katanya.

Syed Ali juga menyangkal dakwaan Sanusi bahawa kerajaan negeri Selangor kerugian RM180 juta dari tanah yang diberikan secara "percuma".

Semalam, Sanusi yang juga ketua pengarah Pilihan Raya PAS pada majlis Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra dilaporkan berkata Vincent Tan mahu mengadakan projek sungai bernilai RM10 bilion dengan mendapatkan tanah seluas 600 ekar di negeri itu.

Amirudin dalam satu kenyataannya, petang tadi juga memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang menyaman menteri besar sementara Kedah tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan