Imam Masjid Putra yang tular dengan 'sediakan parang' sah pegang jawatan dalam Pas W P

HarapanDaily.com
Imam Masjid Putra sah pegang jawatan dalam Pas Wilayah Persekutuan
Imam Masjid Putra di Putrajaya, Bakri Amboala yang tular di media sosial hari ini sah memegang jawatan dalam Pas Wilayah Persekutuan.

Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkenaan merupakan Pengarah Pilihanraya Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan.

Penolong Pengarah Kanan itu berada di posisi tersebut bagi sesi 2023 hingga 2025, menurut senarai ahli jawatankuasa yang dikongsi di Facebook rasmi Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan.

Malah, dalam satu posting semasa sambutan Aidiladha lalu, rakan-rakan Bakri mengetawakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dia tak tau ke yang dia bersalam dengan AJK DUPWP (Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan),” komen seorang rakannya.

Ulamak Pas itu lantas membalas, “dia tak tahu tu” dengan turut meninggalkan emoji ketawa sehingga mengundang soalan rakannya yang lain, “Kenapa Bakri Amboala ketawa?” tetapi hanya dibalas ringkas oleh Bakri, “saja”.

 

Nama Bakri menjadi buah mulut di media sosial susulan munculnya kembali posting ghuluw (ekstremisme) ditulisnya pada 2019 yang berkata orang Islam perlu ada ‘parang sembelihan’ sebagai persiapan untuk ‘si kafir’.

Menerusi semakan di laman web Masjid Putra, Bakri sekarang berjawatan Penolong Pengarah Kanan dalam seksyen/unit Khidmat Sosial.

Sejurus pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), minggu lalu, Bakri memuatnaik hantaran di Facebook dengan berlatarkan warna biru Perikatan Nasional (PN).

“Alhamdulillah, bertasbih (Subhanallah) dan beristighfar lah,” tulisnya ringkas.

Dia turut berkongsikan tiga imej grafik keputusan rasmi PRN di ruangan komen hantaran tersebut dengan meninggalkan komentar, “syukur”, ” Allahu Akbar” dan “barakallah fik”.

Pada November tahun lalu, Timbalan Pengerusi Surau An-Najah, Presint 9, Putrajaya itu menulis bahawa beliau “menerima dengan redha dan hati terbuka…” atas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kemelut kepimpinan negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.

“Saya menerima dengan redha dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

“Saya mengucapkan tahniah kepada YAB. Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10,” katanya.

Walaupun yakin Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan dengan rakyat, Bakri akhirnya tetap menasihati Anwar supaya “memelihara Islam sepenuh jiwa dan ragamu”.

Penglibatan Bakri dalam Pas dilihat bercanggah dengan larangan mengambil bahagian dalam politik seperti digariskan dalam Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan