Inkues Baby Syifaa: Jiran nampak lelaki mencurigakan di depan taska

Zeanaaima Mohd Yusof
Yuseri Yusoff mendakwa orang awam menghubunginya untuk memaklumkan ada lelaki mencurigakan di depan taska pada hari anaknya ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian.
PETALING JAYA: Saksi ke-25 prosiding inkues kes kematian “Baby Syifaa” yang juga bapa mangsa, Yuseri Yusoff memberitahu Mahkamah Koroner Seremban, ada orang awam melihat lelaki mencurigakan di depan taska pada hari kejadian Nour Rania Asyifaa ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian.

Peguam keluarga mangsa, Hafiz Norkhan berkata, itu penemuan terbaharu prosiding inkues semalam ketika Yuseri diasak soalan bertalu-talu oleh timbalan pendakwa raya.

“Yuseri dedahkan ada maklumat daripada orang awam yang memaklumkan ketika kejadian, ada orang lain berada di taska tersebut dan sangat mencurigakan.

“Perkara itu dilihat oleh jiran. Jadi, isu itu menyebabkan mahkamah terpaksa menghentikan prosiding dan mengarahkan Yuseri kemukakan nombor telefon dan nama samaran orang awam itu,” katanya kepada FMT.

Hafiz berkata, jika keterangan saksi terbaharu itu diterima mahkamah, ia akan mengubah naratif kematian Baby Syifaa yang didakwa maut terjerut buaian.

“Jika saksi tersebut boleh dipanggil dan kata-kata saksi tersebut dikemukakan di mahkamah, ia adalah ‘game changing’ dalam kes ini.”

Tetapi katanya, pihak pendakwaan tidak berpuas hati dengan penemuan baharu itu dan merasakan Yuseri menyembunyikan maklumat.

“Tapi hujah kami mudah saja, sebab sejak dari awal kes ini, polis tak menyiasat dengan betul. Tak bertanya soalan kepada jiran-jiran,” kata Hafiz yang bergandingan tiga lagi peguam keluarga itu – Muhammad Amin Anuar, Musfira Mohd Fahmi dan Gaithri Thomas.

Prosiding semalam di depan Koroner Surita Budin terpaksa dihentikan beberapa kali kerana Yuseri tidak dapat mengawal emosinya ketika disoal pihak pendakwaan. Ia turut dihadiri kira-kira 300 orang awam berpakaian serba hitam.

Media sebelum ini melaporkan Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Feb 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut, bukannya meninggal dunia akibat kepalanya terjerut pada kain buaian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan