Kelantan: Semua layak jadi MB, tunggu lepas PRN - Ahmad Yakob

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pas Kelantan menegaskan setakat ini belum ada bayangan berhubung calon Menteri Besar yang akan dipilih selagi Pilihan Raya Negeri (PRN) belum selesai.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara berkenaan akan diputuskan selepas PRN pada 12 Ogos ini.

Beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas berkata, selepas PRN pihaknya akan menyusun sebaik yang mungkin.

"Buat masa sekarang, beri peluang kepada calon yang bertanding supaya memfokuskan kepada gerak kerja masing-masing sehingga hari pengundian.

"Selepas keputusan PRN diperoleh, kita akan umumkan mereka yang layak dan tidak perlu bayangan kerana semua yang bertanding layak termasuk Exco," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran E-Wallet Kelantan Pay di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Pekan, menyatakan pencalonannya dalam PRN kali ini adalah yang terakhir.

Beliau berkata, pencalonannya sebagai calon Dun Pasir Pekan memasuki penggal ketujuh dan sudah tiba masanya memberi laluan kepada calon lain yang lebih muda selepas ini.

Menurutnya, beliau menyifatkan pembabitan dalam politik seperti kitaran yang mana perlu berkorban sekiranya sudah mencapai tahap keupayaan yang semakin perlahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan