KJ: 70% undi BN beralih, PH hilang Simpang Jeram

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mungkin hilang kerusi DUN Simpang Jeram pada PRK 9 Sept ini jika terdapat peralihan sebanyak 70% hingga 80% undi Barisan Nasional (BN) kepada Perikatan Nasional (PN), kata Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, bagi Parlimen Pulai, bekas ketua Pemuda Umno itu berkata kerusi tersebut akan terus dipertahankan PH berdasarkan keputusan PRU sebelum ini.

“(Di Simpang Jeram) Jika undi BN pada PRN Johor sebanyak 6,062 ditambah undi PN (6,350) jadi 12,000…lebih banyak daripada PH dapat (8,749).

“Jika tidak 100%, 70% hingga 80% peralihan undi BN ke PN sudah cukup (PH tewas di Simpang Jeram),” katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan

Sementara itu, Shahril berkata semakin ramai bekas penjawat awam menjadi calon PN termasuk Dr Mohd Mazri Yahya di Simpang Jeram, menunjukkan trend kakitangan kerajaan ketika ini memihak kepada pembangkang.

Mazri adalah bekas pegawai di Kementerian Kesihatan dan pakar bedah vaskular dan endovaskular.

“Trend penjawat awam semakin jelas memihak kepada PN bukan sahaja PRN (enam negeri) tetapi berlaku di PRU15.

“Banyak saluran tunjuk tentera memihak kepada PN. Sesetengah tempat polis pihak pada PN dan kerusi penjawat awam di Putrajaya dimenangi PN,” katanya.

PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi itu kerana kematian penyandangnya Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan undi awal pada 5 Sept dan 9 Sept ini sebagai hari pengundian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan