Lelaki hilang 2 bulan ditemui maut kemalangan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Misteri kehilangan seorang lelaki hampir dua bulan terjawab selepas mayatnya ditemui dalam sebuah kereta yang dipercayai terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Juasseh-Bahau di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Kuala Pilah, Amran Mohd Gani berkata, kereta dinaiki mangsa ditemui orang awam di satu kawasan cerun bersemak di tepi jalan tersebut.

“IPD Kuala Pilah menerima panggilan telefon dari orang awam menyatakan terdapat kemalangan jalanraya di Jalan Juasseh-Bahau membabitkan kereta.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku membabitkan kereta jenis Perodua Kancil yang ditemui bersama pemandunya di bahu jalan bercerun,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, turut ditemui di dalam kereta yang remuk itu adalah kad pengenalan dan lesen memandu mangsa.

“Hasil semakan pada kad pengenalan itu, mangsa dilaporkan hilang pada 6 Jun lalu oleh ibunya yang membuat laporan di Balai Polis Terachi di Kuala Pilah.

“Mangsa dilaporkan menaiki kereta Perodua Kancil berwarna kelabu berseorangan dan gagal dihubungi sehingga dijumpai,” katanya.

Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah bagi tujuan bedah siasat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan