Masuk Johor secara beradab, jangan hina Raja dan rakyat

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 
“Nasihat saya masuklah secara beradab, jangan menghina Raja, janganlah menghina orang,” demikian kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata demikian sebagai nasihat kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor.

Semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan, DUN Simpang Jeram akan menjadi ‘pintu masuk’ serta pencetus kepada ‘gelombang’ PN sebelum bertapak di Johor pada pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata ianya tiada masalah, namun parti pembangkang itu perlu masuk ke negeri berkenaan secara beradab apabila berada di pentas politik.

“Saya kira tiada masalah, tetapi kalau mereka (PN) nak masuk Johor, cuma nasihat saya, masuklah secara beradab.

“Jangan menghina Raja dan janganlah menghina orang. Cukup-cukuplah membawa politik yang boleh menimbulkan satu keresahan dalam kehidupan masyarakat dalam negara kita ini,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan dikeluarkan Sanusi itu menjelang PRK tidak lama lagi.

Sebelum ini, Sanusi menimbulkan kontroversi apabila menghadapi pertuduhan berhubung kenyataannya dalam ceramah politik yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja).

Berdasarkan ucapannya ketika menghadiri satu acara ceramah politik PN di Selayang pada 11 Julai lalu, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh isu perkenan Sultan Selangor dalam hal berkaitan pelantikan Menteri Besar di negeri itu.

ADUN Jeneri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan