Nahas Elmina: Rakaman 30 mint terakhir pesawat diperoleh

Malaysiakini

Pihak berkuasa berjaya memperoleh data daripada perakam suara kokpit (CVR) pesawat yang terhempas di Lebuhraya Koridor Guthrie dekat Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, analisis rakaman audio berkenaan sedang dijalankan di Amerika Syarikat.

"Rakaman berjaya didapati, recording (rakaman) juruterbang ada, jadi sumber untuk buat siasatan.

"Rakaman itu sangat jelas dan analisis sedang dijalankan," kata Loke pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Loke, pasukan dari Biro Siasatan Kemalangan Udara Malaysia (BSKU) yang tiba ke Florida, terpaksa menghantar data melalui e-mel selepas terkandas di Amerika Syarikat akibat cuaca buruk.

Mereka dijangka pulang minggu depan.

Loke bagaimanapun enggan membuat kesimpulan mengenai nahas pesawat berkenaan sehingga laporan mengenainya dikeluarkan.

Tambahnya, laporan awal dijangka akan diperoleh dalam masa dua minggu lagi.

“Laporan awal hanya laporan pendek sahaja. Laporan akhir lebih terpeinci akan siap sehingga 1 tahun,” katanya.

Data daripada CVR pesawat itu pada mulanya dihantar ke Singapura untuk dianalisis.

Pakar di negara itu memperoleh data 30 minit terakhir rakaman suara yang dirakam dalam komponen ‘memory puck’ pesawat tersebut sebelum nahas berlaku.

CVR kemudiannya dihantar ke AS selepas terdapat beberapa isu teknikal.

Pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terbang dari Langkawi ke Subang itu terhempas ke Lebuhraya Guthrie pada kira-kira 2.50 petang pada 17 Ogos, mengorbankan kesemua lapan orang di dalamnya, termasuk Exco kerajaan negeri Pahang Johari Harun.

Tragedi itu turut mengorbankan seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang p-hailing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan