Naratif kerajaan perpaduan yang gagal

Abu Husna Prima

Izinkan saya mengambil sedikit masa bacaan saudara dan saudari untuk berkongsi selayang pandang imej kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Saya juga memohon izin daripada Anwar untuk memberikan satu dua pandangan khususnya terkait naratif perjalanan politik dan pentadbiran yang dia ketuai.

Apakah penilaian orang ramai terhadap kerajaan perpaduan seawal ia ditubuhkan? Saya kira ia boleh dipanggil sebagai 'kerajaan tak sengaja’ kerana kelihatan muncul tanpa perancangan awal.

Justeru bolehlah juga dianggap sebagai ‘kerajaan separa masak’.

Hal itu kerana kerajaan yang kita ada bukan dibentuk melalui manifesto, kerja politik pilihan raya dan idealisme yang digarap bersama sejak awal.

Maknanya, kelemahan sudah ada sejak ia dilahirkan ke atas dunia dan untuk kesejahteraan semua, ia mesti ditangani segera dengan naratif yang betul.

Berasaskan penglihatan saya sebagai seorang rakyat biasa di negara ini, Anwar membina tiga naratif penting yang disebarkan ke seluruh pelusuk negara, dan kepada dunia secara am.

Bukan senjata yang berkesan

Pertama, Malaysia berada di landasan betul untuk kebangkitan ekonomi. Kedua, Malaysia bergerak ke arah status negara berintegriti tinggi terutama apabila melibatkan penentangan terhadap amalan korupsi. Ketiga, Malaysia membawa pemikiran Islam yang sederhana, menolak pemikiran melampau dalam beragama.

Semuanya adalah baik, penting dan mendesak. Namun, apakah ketiga-tiga naratif itu dibentuk dengan baik dan berjalan sempurna sehingga ke hari ini?

Atau ia sekadar lontaran-lontaran idea yang sedap di telinga tetapi tidak menjadi polisi mantap dalam kerajaan yang kini berusia melebihi lapan bulan?

Naratif ekonomi Anwar disambut baik oleh menteri ekonomi dan menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Juga menteri-menteri lain.

Inisiatif yang digerakkan oleh almarhum Salahuddin Ayub adalah salah satu 'buah' daripada idea kerajaan perpaduan. Namun dua naratif yang lain lagi tidak berkembang baik apabila ia tidak disambut secara berkesan oleh menteri-menteri yang berkaitan.

Naratif kerajaan melawan korupsi tidak menjadi senjata yang berjaya setakat ini. Tiada kes yang benar-benar berjaya diatasi dengan segera. Mungkinlah benar, ia memerlukan masa yang lebih lama jika terkait kes mahkamah.

Tetapi apakah perubahan dasar dan pentadbiran kerajaan tidak boleh dilakukan pada kadar lebih segera? Apakah kejayaan kerajaan perpaduan dalam konteks ini?

Saya tidak nampak, dan kemungkinan besar saya tidak bersendirian atau menjadi kumpulan minoriti dalam hal ini.

Kadang-kadang (malah kerap kali sebenarnya), terlintas di fikiran: apakah setiap inisiatif dan slogan kerajaan ini tidak lebih sekadar slogan yang tidak pun sampai ke tulang pinggul Putrajaya untuk dilaksanakan?

Jika begitu keadaannya, bagaimana ia dapat dihayati rakyat di akar umbi?

Bergelut, lewat bertindak

Satu kemungkinan yang menyebabkan ia berlaku ialah, kerana inisiatif perdana menteri digarap atas asas perlawanan politik antara kerajaan dan pembangkang.

Justeru wujud persepsi bahawa segala kempen membanteras korupsi semata-mata untuk mengenakan lawan politik, bukannya idea sejati untuk membina tadbir urus yang baik (good governance).

Apabila Anwar membicarakan soal integriti bersekali dengan serangan terhadap lawan, naratif asas tenggelam, diragui kejujurannya dan lebih malang ia ditafsir sebagai sekadar bermotifkan politik.

Rakyat dan pandangan umum melihat ia bukan sebuah jihad tulen bagi menentang korupsi, dan tidak juga membina semula sistem kerajaan bermaruah.

Begitu juga naratif amalan beragama yang sederhana tetapi mendasari nilai hakiki yang kelihatan tidak langsung disambut oleh menteri agama serta agensi di bawahnya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) serta media yang ada bersama mereka.

Barangkali kerana itu sekarang kita nampaklah menteri agama bergelut melakukan sesuatu yang sepatutnya dilakukan 10 hari pertama dia menyertai kerajaan,

Antara tindakan yang tidak sepatutnya berlaku ialah apabila menteri agama berjumpa semua agensi di bawahnya untuk menekankan peri pentingnya menjelaskan konsep Malaysia Madani kepada orang ramai sehari sebelum pilihan raya negeri (PRN) berlangsung.

Malu benar kalau difikirkan cara bekerja sedemikian. Bahkan tidak keterlaluan jika ada rakyat menganggap menteri agama seolah-olah tidak wujud dalam kerajaan perpaduan ini.

Sebelum ini Mohd Na'im Mokhtar merupakan seorang hakim mahkamah syariah yang dihormati. Apabila dia dilantik menyertai kabinet, maka tempatnya bertukar ke Jakim.

Namun fungsi Mohd Na'im bukanlah sekadar menjadi pengiring perdana menteri ke majlis kerajaan dan keagamaan, atau menyampaikan ucapan perasmian.

Boleh terjebak hal tak sepatutnya

Ada berbelas-belas agensi di bawah menteri agama yang kini menjadi sasaran rasa rengsa dan rimas orang ramai yang berharap ia dapat digerakkan dengan jauh lebih baik.

Ketika ini naratif agama kerajaan paling teruk simpang siurnya. Benar, Anwar kerap menjemput ulama ke Seri Perdana, selain rajin menghadiri pelbagai seminar dan program agama.

Anwar juga malah memberikan ucapan sangat baik tentang pemikiran Islam sederhana. Masalahnya ialah semua itu tidak mencipta gelombang Islam di arus perdana, apa lagi di peringkat akar umbi.

Selain soal kelemahan pentadbiran agama, penguatkuasaan agensi berkaitan, kelembapan mengatur strategi memberi kesedaran rakyat tentang bahaya takfiri dan ekstremisme, Anwar sendiri perlu melihat kembali struktur pemikiran Islam sederhananya selain peranannya membina modal insan terbaik.

Kenapa orang selalu berkata anda liberal, wahai perdana menteri?

Ya, anda tidak liberal dalam pemahaman dan pelaksanaan Islam. Malah konotasi liberal yang digunakan lawan politik selalunya tersasar daripada hakikat. Salah definisi, ke laut pemahamannya.

Tetapi, rakyat juga tertanya-tanya mengapa perdana menteri yang hebat berfalsafah di pentas akademik dan dunia, juga terhibur dengan program melalaikan yang boleh dielakkan dengan mudah.

Menjadi perdana menteri kepada semua tidak bermakna anda perlu bergaul dengan semua orang di pentas mereka. Jagalah adab sama ada dari aspek agama, ketimuran, ilmuwan, agamawan dan negarawan.

Tidak perlu menjerumuskan diri mencipta isu tidak perlu seperti menyertai program hiburan melalaikan. Konsep madani mesti diperjuangkan secara menyeluruh, bukan sekadar melontar ucapan yang mengandungi makna dan maksud madani.

Madani itu dibuktikan dengan akhlak terpuji seorang pemimpin.

Mungkin sudah sampai masanya untuk Anwar melakukan dua perkara penting sebagai langkah drastik mempertahankan kerajaannya.

Ambil langkah segera

Pertama, bertindak sebagai negarawan dengan mendekati rakyat melalui pelbagai modal madani dan kemanusiaan. Jangan lagi menyerang lawan politik tidak berhenti-henti sehingga rakyat akhirnya menolak untuk mempercayai kata-kata anda.

Biarkan kerja-kerja itu dilakukan oleh menteri seperti Saifuddin Nasution Ismail, contohnya. Atau Rafizi Ramli, Mohamad Sabu dan yang lain-lain.

Biarlah mereka menjadi panglima tempur kerajaan dan saudara menjadi negarawan membina negara dan bangsa sekali gus.

Kedua, menukar segera menteri agama kepada individu yang benar-benar memahami tugasan selaku orang kanan bagi isu-isu pemikiran Islam perdana menteri dan dasar kerajaan perpaduan.

Menteri yang diperlukan kerajaan perpaduan ini ialah tokoh yang berani bertindak dan sedia mengambil risiko demi kemajuan Islam. Watak itu mesti dicari - segera.

Izinkan saya juga mengkritik Saifuddin yang berperanan penting dalam membina naratif kerajaan perpaduan di sepanjang PRN lalu.

Di sebalik kedudukannya yang penting, Saifuddin gagal mencipta gelombong sokongan buat kerajaan kerana terlalu memberi tumpuan kepada individu, yakni Menteri Besar Kedah.

Kesilapan percaturan itu akhirnya menukar peluru menjadi senjata makan tuan.

Sebagai ahli politik yang berpengalaman luas, Saifuddin seharusnya belajar daripada pengalaman pemimpin PAS yang kerap kalah dalam mahkamah tetapi tetap gah kerana sokongan kepada mereka tidak berkurangan.

Belajar juga dengan pengalaman Muhyiddin Yassin yang tetap disokong sebahagian rakyat walaupun kesnya sangat meyakinkan pasukan penguat kuasa.

Apa makna semua itu?

Kalau kes yang sudah jelas pun tidak memberi bekas terhadap sokongan kepada PN, apalah sangat dengan dakwaan, tuduhan dan soalan-soalan terhadap Menteri Besar Kedah.

Cubalah berfikir lebih jauh sedikit lagi: kenapa para pengundi di bawah seliaan saudara tidak menyokong parti kerajaan?

Sepatutnya saudara lebih banyak memberi fokus kepada isu-isu keselamatan negara dan yang menggugat keharmonian rakyat termasuk berkenaan 3R.

Kurangkan masa untuk mencipta hero baru buat PN.

Kesimpulannya iakah, kerajaan perpaduan perlu bangkit segera. Empat tahun berbaki sebenarnya sangat singkat untuk sebuah naratif yang berkecamuk.

RTM pula seakan-akan tidak boleh diharapkan - kalau pun tidak sehingga ke tahap langsung tidak berguna - untuk membetulkan salah faham rakyat terhadap idealisme takfiri dan fanatisme agama.

Entahlah, adakah ia disedari Fahmi Fadzil atau pun tidak. Dia pun satu hal juga. Ramai benar yang bercakap kepada Fahmi tetang peranan RTM dan agensi berita di bawahnya, tetapi dia memilih untuk mengayuh basikal dalam pejabatnya. Berpusing-pusing entah mahu ke mana.

Tukarlah Fahmi sekali, saudara Anwar, jika mahu selamatkan kerajaan perpaduan dan kerjasama PHBN.

Terimalah teguran dengan rasa hormat. Ia merupakan antara tuntutan Malaysia Madani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan