NS: Siapa layak jadi MB jadi teka-teki

Malaysiakini

Lazimnya, tidak menjadi masalah bagi menamakan calon menteri besar apabila sesebuah gabungan menang mudah dalam mana-mana pilihan raya.

Namun ini bukannya yang terjadi di Negeri Sembilan.

Meskipun gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN menang besar dan mendapat undi majoriti dua pertiga, namun untuk menamakan seorang menteri besar bukannya mudah.

Sebelum ini, Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengumumkan gabungan itu sedia mencalonkan semula Aminuddin Harun sebagai menteri besar jika mereka menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini turut menyatakan pendirian menyokong Aminuddin yang mewakili PKR dikekalkan sekiranya PH terus diberikan mandat dalam PRN.

Semalam daripada 36 kerusi yang dipertandingkan, kerjasama PH - BN berjaya menyapu 31 kerusi.

Umno menjadi parti terbesar dengan memenangi 14 kerusi, PH berjaya mendapat 17 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula merampas 5 kerusi.

Daripada 17 kerusi PH itu, PKR hanya memiliki 5 kerusi, manakala DAP mendapat 11 dan Amanah satu.

Umno sebelum PRN 12 Ogos ini menerajui pentadbiran empat negeri sebagai menteri besar atau ketua menteri, iaitu Perak, Johor, Pahang dan Melaka, PKR menerajui kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan, manakala DAP pula di Pulau Pinang.

Berikutan kelebihan kerusi yang dimiliki oleh Umno berbanding PKR, timbul spekulasi bahawa kemungkinan calon Umno yang bakal menjadi menteri besar.

Antara nama yang disebut-sebut adalah Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias yang menang di DUN Pertang dan timbalan presiden Umno merangkap ahli Parlimen Rembau, Mohamad Hasan yang mempertahankan kerusi DUN Rantau semalam.

Mohamad Hasan juga adalah menteri pertahanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan