Nur Jazlan: Sepanduk tolak calon PH taktik kotor pembangkang

Alyaa Alhadjri

PRK PULAI | Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed menolak dakwaan kononnya berlaku penolakan daripada cawangan Umno di bawah bahagiannya terhadap calon BN-PH Pulai Suhaizan Kayat.

Ini selepas tersebar gambar sepanduk yang didakwa muncul di lokasi tidak dikenal pasti di Pulai menjelang hari penamaan calon esok itu menyatatan: "Kami Cawangan-Cawangan Umno Bahagian Pulai Menolak Calon Pakatan Harapan!!".

Bagaimanapun, Nur Jazlan yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara memberitahu Malaysiakini sepanduk itu cuma "taktik kotor" oleh lawan mereka.

"Saya anggap perbuatan menaikkan banner dan mengambil gambar untuk diviralkan dalam media sosial itu adalah perbuatan daripada pihak pembangkang.

"Taktik kotor yang sepatutnya tak digunakan," kata anggota Majlis Tertinggi Umno itu ketika ditemui Malaysiakini pada majlis di Pulai bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Suhaizan dan jentera pilihan raya BN malam ini.

"Kalau betul ada penolakan dari cawangan-cawangan saya, akan ada ketua cawangan yang buat sidang akhbar dan sebagainya.

“Tapi tak ada,” jelas Nur Jazlan yang juga bekas ahli parlimen Pulai.

"Jadi saya anggap benda ini sebagai satu perkara palsu dan taktik kotor oleh pembangkang,” katanya lagi.

Pada pilihan raya kecil ini, Suhaizan dijangka menentang calon PN Zulkifli Jaafar dan sekurang-kurangnya seorang calon bebas di kerusi parlimen itu yang kosong berikutan kematian penyandangnya pemimpin Amanah, Allahyarham Salahuddin Ayub.

Nur Jazlan pernah bertanding menentang Allahyarham Salahuddin dan Loh Kah Yong daripada PN dalam pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-15 lalu.

Susulan kerjasama politik selepas PRU15 dengan PH dan parti lain yang kini dalam kerajaan, BN mengumumkan akan memberi laluan kepada Amanah untuk mempertahankan kerusi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan