Pekerja ladang bakar isteri dengan petrol

Zuhainy Zulkiffli

am@hmetro.com.my

Georgetown: Lelaki tergamak membakar isterinya menggunakan petrol dalam kejadian di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor, semalam, hanya kerana perselisihan faham membabitkan keluarga.

Akibatnya, mangsa berusia 35 tahun melecur sehingga 27 peratus pada anggota badan dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa pada 10.45 malam berhubung kejadian sebelum anggota bergegas ke lokasi.

Katanya, ketika kejadian keempat-empat anak mereka berusia antara 10 hingga 15 tahun berada di rumah.

"Hasil siasatan awal mendapati anak lelaki mangsa berusia 13 tahun mendakwa mereka berada dalam bilik sebelum terdengar pergaduhan antara ibu dan bapanya.

"Remaja itu cuba keluar bagi melihat kejadian sebelum menyedari pintu bilik dikunci dari luar dan cuba menarik pintu serta berjaya membukanya, " katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Asri berkata, remaja itu kemudian melihat ibunya berada di bahagian belakang luar rumah dalam keadaan badan terbakar manakala suspek cuba padamkan api itu menggunakan kain.

Katanya, suspek yang berusia 36 tahun itu bertindak melarikan diri apabila menyedari api pada badan mangsa semakin merebak.

"Mangsa sempat meminta bantuan anak lelakinya mengambil air bagi memadamkan api itu.

"Remaja lelaki berkenaan mengambil air dari bilik air berdekatan dan memadamkan api pada badan mangsa sebelum meminta bantuan daripada jiran bagi menghubungi pihak polis," katanya.

Mohd Asri berkata, mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan semakan pegawai perubatan mendapati wanita terbabit melecur 27 peratus pada anggota badan.

"Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk pernah mencederakan mangsa.

"Pasangan suami isteri itu adalah pekerja ladang dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan