Pesawat terhempas: Polis ambil alih siasat jika wujud unsur jenayah

Bernama

KLANG: Polis akan mengambil alih siasatan terhadap kejadian nahas pesawat persendirian terhempas berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, pada Khamis lepas sekiranya terdapat unsur jenayah ataupun ‘foul play’.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata siasatan akan dijalankan sekiranya dimaklumkan berlaku unsur tersebut oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang kini bertanggungjawab menyiasat punca nahas itu.

“Kalau mereka nampak sebarang perkara (mencurigakan), BSKU akan maklumkan dan polis ambil alih (siasatan).

“Sekarang urusan BSKU. Polis punya siasatan sudah selesai. Kita dah pun rekod (keterangan) saksi-saksi awam, jadi sebahagian daripada siasatan (polis) boleh digunakan oleh BSKU,” katanya ketika ditemui di perkarangan Istana Alam Shah.

Hussein berkata setakat ini siasatan daripada pihaknya sudah selesai dengan polis telah merakam keterangan tiga pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang berada di lokasi nahas pesawat terhempas itu.

“Setakat ini tidak ada (tambahan individu beri keterangan), itu sahaja. Kita tunggu lagi sekiranya ada lagi mereka yang memiliki gambar, bahan (berhubung nahas pesawat) yang boleh membantu siasatan,” katanya.

Semalam, Hussein mengesahkan tiada lagi mana-mana individu yang terlibat dan terkorban selain daripada 10 mangsa itu termasuk Exco Pahang Johari Harun.

Turut berada dalam pesawat itu ialah juruterbang Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.

Dua lagi yang maut adalah orang awam iaitu penunggang p-panggilan Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-panggilan Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.

Tumpuan kini adalah laporan awal siasatan nahas seperti dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan yang akan disediakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh insiden nahas udara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan