PH-BN berisiko kehilangan DUN Simpang Jeram

Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) berisiko kehilangan DUN Simpang Jeram pada PRK kali ini, kata penganalisis yang menjangkakan peralihan sokongan dalam komuniti Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).

Peralihan itu didorong oleh ketidakpuasan hati terhadap situasi ekonomi semasa, dan bukannya sokongan tulen terhadap Bersatu atau PAS.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia meramalkan akan ada suatu bentuk penolakan dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan perpaduan di kerusi yang dimenangi oleh Amanah sejak dua PRU lalu.

“Simpang Jeram agak kritikal. PH tak mustahil hilang kerusi jika lihat perkembangan sekarang,” katanya kepada FMT, sambil menarik perhatian kepada kedudukan DUN itu yang berdekatan Parlimen Pagoh dan kubu kuat Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

DUN Simpang Jeram yang terletak dalam Parlimen mempunyai sekitar 55% pengundi Melayu. Pernah dimenangi PAS pada PRU12 dan PRU13, PH merampasnya pada PRU14 dengan majoriti 7,687 undi. Usaha mempertahankan kerusi itu pada PRN Johor 2022 menyaksikan kelebihan undi berkurangan, kepada 2,399 undi.

Situasi lebih baik bagi PH di Parlimen Pulai, yang dijangka akan dapat mempertahankan kerusi itu namun dengan majoriti undi yang lebih kecil. Mazlan berkata peratusan pengundi bukan Melayu mengatasi pengundi Melayu yang membentuk sekitar 44% pemilih akan memberi kelebihan kepada PH.

“Sebahagian undi BN akan beralih kepada PN. Majoriti 33,000 mungkin berkurang,” katanya. “Jika lebih 80% pengundi bukan Melayu keluar mengundi, peluang PH pertahan tinggi.”

Salahuddin merampas Pulai daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 dengan kelebihan 28,924 undi. Pada PRU15, beliau menewaskan dua pencabar lain dengan 33,174 undi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata trend sokongan pengundi kepada PN, dalam lingkungan usia 18 hingga 25 tahun seperti yang ditunjukkan pada PRU15 dan PRN enam negeri baru-baru ini, akan menjadi cabaran buat PH-BN.

“Sebab penolakan kepada Umno dan kerajaan perpaduan adalah kerana mereka masih angkat individu terkait rasuah sebagai pemimpin negara,” katanya kepada FMT, dan menambah mereka tidak nampak usaha perubahan berlaku dalam parti itu.

Keduanya, kata ketua badan penyelidikan itu, kerajaan perpaduan tidak berusaha bersungguh-sungguh menawan hati kelompok usia itu. “Selain Perdana Menteri Anwar Ibrahim menemui mahasiswa di kampus, selebihnya tak ketara.”

Hisomuddin meramalkan PH akan hanya dapat mempertahankan Pulai sekiranya pengundi bukan Melayu keluar mengundi. “Di Simpang Jeram, PH terdedah kepada boleh hilang kerusi.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan