Polis siasat ceramah Sanusi didakwa fitnah, gugat keharmonian awam

Muhaamad Hafis Nawawi
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan membabitkan ceramah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa berunsur fitnah dan dengan niat menggugat keharmonian awam.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan, berkata siasatan dijalankan selepas seorang individu membuat laporan polis semalam, selepas dia yang berada di rumahnya di Alor Setar melayari laman YouTube dan mendengar ucapan Muhammad Sanusi.

Beliau berkata, individu terbabit mendakwa dalam ucapan itu, Muhammad Sanusi mengeluarkan kata-kata kesat dan menuduh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail masuk ke dalam hutan simpan tanpa permit.

"Pengadu berasakan kenyataan itu satu fitnah melampau dan boleh menggugat keharmonian serta ketenteraman awam.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Kesalahan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Skandaguru berkata, polis menerima 1,651 laporan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri sejak 27 Julai hingga semalam.

"Selangor merekodkan penerimaan laporan polis tertinggi iaitu 688 diikuti Terengganu (314), Kedah (258), Kelantan (236), Negeri Sembilan (116) dan Pulau Pinang (39).

"Sebanyak 4,300 permit ceramah dikeluarkan di semua enam negeri. Permohonan paling tinggi untuk permit ceramah adalah di Kedah dengan 938 permohonan, Selangor (891), Kelantan (842), Terengganu (728), Negeri Sembilan (466) dan Pulau Pinang (435) serta tujuh tanpa permit.

"Berdasarkan laporan diterima itu, polis membuka 115 kertas siasatan dengan tujuh tangkapan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan