Polis siasat pemilik Facebook disyaki hina Anwar

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menjalankan siasatan terhadap seorang pemilik dan pengendali akaun Facebook kerana disyaki mengeluarkan kenyataan menghina Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan terhadap pemilik akaun Facebook itu dibuat susulan hantaran videonya pada 18 Ogos lalu.

“Pengendali akaun Facebook itu dipanggil ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk diambil keterangan semalam bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Shuhaily berkata, kes itu masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat salah sehingga mengganggu proses siasatan atau menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

Media hari ini melaporkan seorang aktivis masyarakat mempersoalkan tindakan Anwar mengislamkan seorang saudara baharu di Klang, Selangor, baru-baru ini dan tindakannya itu menyebabkan dia dipanggil polis untuk dirakam keterangan.

Sebelum ini, tular rakaman video Anwar mengajar seorang lelaki mengucap dua kalimah syahadah dan mengundang pelbagai reaksi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan