Politik sekadar jadi medan berlawan siapa lebih Melayu dan lebih Islam

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali menyifatkan gelanggang politik telah menjadi medan mencari siapa lebih Melayu dan siapa lebih Islam.

Beliau berkata, pertembungan politik kepartian ternyata mempunyai satu sisi kelemahan iaitu ahli politik tidak mempunyai struktur idea untuk diketengahkan atau dijadikan agenda.

Sebaliknya wacana yang kerap kali diangkat terutama ketika pilihan raya, hanyalah berkisar soal logo, markas, bendera, dan naratif identiti

“Politik telah menjadi medan mencari siapa lebih Melayu dan siapa lebih Islam. Ini sadis kerana ia telah membungkamkan kepentingan sebenar untuk rakyat.

“Sebab itu, sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Batu Buruk, saya cuba membawa tajdid baru iaitu Agenda 13.

“Tujuannya ialah cuba memecah corak wacana dalam masyarakat ketika pilihan raya supaya bercakap agenda untuk rakyat. Politik begini memang sukar kerana aras pemikiran kritis diperlukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini

Zamir yang calon DUN Batu Buruk pada PRN 12 Ogos lalu, telah menyenaraikan sekurang-kurangnya 13 agenda “Laskar Pemajuan Batu Buruk” untuk penduduk di DUN tersebut.

Agenda yang mahu dilakukannya termasuklah pembangunan untuk anak-anak pesawah, penternak dan nelayan, serta usaha mengangkat konsep padi pelancongan di sekitar inap desa.

Beliau yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang pertanian, melihat potensi untuk meningkatkan peranan perkampungan Kuala Ibai sebagai kampung warisan dan menaiktaraf Sungai Ibai sebagai kawasan pelancongan.

Bagaimanapun Zamir mengakui, politik yang memfokuskan kepada agenda untuk rakyat sukar dilakukan sesetengah ahli politik kerana aras pemikiran kritis diperlukan

“Namun jika tidak dimodelkan, maka selamanya rakyat akan terperangkap dalam kokun pemikiran yang membuang masa, tenaga dan wang ringgit.

“Belanja juga menjadi amat luar biasa besar,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan