'PRK ini tentang Johor lawan anasir luar'

Shakira Buang

Pemuda Umno Johor berkata pilihan raya kecil (PRK) di negeri itu bukalah soal Pakatan Harapan (PH) dan BN menentang Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata ia adalah pertembungan Johor melawan “anasir luar” yang membawa unsur yang bertentangan dengan nilai bangsa Johor.

“Dalam PRK ini, lihatlah begitu ramai para pencatur politik diterbangkan dari seluruh negara. Dari utara, bahkan dari timur tanah air.

“Masing-masing tidak dapat menyembunyikan keinginan mereka mencampuri urusan kita di selatan,” katanya.

Tambah Noor Azleen, ‘gelombang’ yang dibawa PN bukanlah gelombang perubahan, tapi gelombang yang bertujuan merosakkan negeri.

“Ya, memang ada gelombang yang kita rasai. Tetapi yang dibawa itu bukanlah gelombang perubahan.

“Sebaliknya gelombang untuk merosakkan negeri dengan unsur-unsur luar yang nyata bertentangan dengan nilai Johor Darul Ta’zim.

“Unsur-unsur luar yang bertentangan dengan nilai kita sebagai bangsa Johor yang muafakat dan bersatu-padu,” katanya.

Justeru Noor Azleen mengingatkan rakyat khususnya pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram agar menolak perpecahan yang cuba dilakukan pihak lawan.

“Dalam keadaan yang sangat getir ini, ketepikanlah apa jua sentimen untuk sementara.

“Ada mudarat yang lebih besar di hadapan kita. Anak selatan menolak perpecahan. Kita pilih perpaduan, wawasan dan kemakmuran,” tegasnya.

PRK Simpang Jeram dan Pulai diadakan berikutan kematian menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Salahuddin Ayub pada 23 Julai, sehari selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Pertembungan tiga penjuru akan berlangsung bagi kerusi DUN Simpang Jeram, antara calon PH Nazri Abdul Rahman, calon PN Dr Mohd Mazri Yahya, dan calon bebas S Jeganathan.

Sementara itu, di Pulai, Suhaizan Kaiat dari PH akan berdepan calon PN Zulkifli Jaafar dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

Pada pilihan raya umum ke-15, Salahuddin memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 33,174 undi, memperoleh 64,900 undi, mendahului calon BN Nur Jazlan Mohamed (31,726 undi) dan calon PN Loh Kah Yong (20,677).

Salahuddin turut mempertahankan kerusi Simpang Jeram pada pilihan raya negeri Johor pada Mac tahun lepas dengan meraih 8,749 undi menentang Zarul Salleh dari PN (6,350 undi), Lokman Md Don dari BN (6,062 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 166,653 pengundi berdaftar, 165,799 pengundi biasa, 927 anggota polis dan pasangan, dan 26 pengundi pos luar negara di kawasan Parlimen Pulai.

DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 pengundi berdaftar, 40,373 pengundi biasa, dan enam pengundi pos luar negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan