Rafizi umpama ‘bintang rock’ di pentas ceramah

Hishamuddin Aun

Katalah apa saja kepadanya kerana beliau semacam sudah lali dengan pelbagai nista, yang tidak pun membuatnya nampak goyah atau terkesan. Malah, buat Rafizi Ramli, gelaran ‘Raja Formula’ dianggapnya bukan pun isu yang boleh memperlahankan langkah atau mengendurkan kelantangan suaranya.

Terdidik dengan pendedahan sebagai pendebat ketika mewakili Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) lagi, seterusnya pembabitan aktif dalam gerakan Reformasi, kepetahannya di pentas ceramah politik terserlah dari sebelum penggal pertamanya selaku Ahli Parlimen Pandan (2013-2018) lagi.

“Hari ini, berjuta-juta mata rakyat biasa yang perhatikan semua. Salah pakai selipar kena, gemuk sikit pun kena. Sekarang saya pakai baju saiz 3XL supaya lepas ni tak ada orang komen dah. Memang nampak besar, sebab tu saya pakai baju hitam saja sekarang. Ada komen kata tolong berlaku adil kepada baju yang saya pakai, ketat sangat tu.

“(Menteri Besar Kedah) Sanusi kata gigi saya senget. Wala’un PAS dok ulang-ulang kata saya menteri bermulut senget. Dia nak serang apa, saya dah tak peduli,” katanya dalam satu majlis ceramah Jelajah Madani di DUN Sikamat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Selasa lalu, yang dihadiri lebih 1,000 penduduk walaupun hujan lebat.

Seperti dikatakannya, dalam tempoh kempen sekarang, jumlah yang menonton di dalam talian sama penting dengan mereka yang hadir ceramah, dengan dianggarkan kira-kira 5,000 lagi mengikutinya melalui pelbagai platform media sosial pada malam itu.

Jelajah Madani dilancarkan 4 Julai lalu sebagai platform untuk kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelaskan kepada rakyat langkah-langkah dan pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan sepanjang lapan bulan lalu. Siri jelajah itu, yang bermula di Sikamat, juga disasarkan sebagai saluran untuk rakyat mendapatkan maklumat daripada pemimpin berkenaan.

Gaya Rafizi di pentas ceramah amat bersahaja. Dengan kekerapan melihat ke jam tangan ketika berceramah semacam sudah menjadi identitinya, timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seolah-olah dipandu oleh waktu untuk beranjak dari satu poin ke poin berikut dalam butir bicaranya.

Cuma, diumpamakan dengan ‘bintang rock’ dalam PH, beliau beruntung kerana sering diberi masa di antara 40 minit dan sejam dalam siri ceramahnya selain lazimnya mengambil giliran sebagai penceramah terakhir yang akan menutup pentas menjelang 12.00 tengah malam.

Mungkin tempoh itu lama buat penceramah yang terdahulu daripadanya, Rafizi pula kelihatan sering ketidakcukupan masa dalam menyampaikan hujah-hujahnya. Dalam pada itu pun, beliau jarang menyelitkan lawak jenaka sebagai tarikan, sebaliknya membiarkan data dan fakta yang dibentang untuk mengikat audiens di tempat duduk.

“Saya, walaupun orang kata bosan, saya memang ambil peluang dalam kempen PRN dua minggu ini untuk terangkan hal ekonomi. Baik saya gunakan peluang ceramah untuk terangkan sebab ini ilmu. Itu pahala saya daripada saya maki semua orang,” katanya.

Sesekali beliau tidak hindar membalas cercaan, dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor, calon PN bagi DUN Hulu Kelang Azmin Ali, dan Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman, sebagai sasaran.

“Tan Sri Muhyiddin nak jadi PM balik kerana nak tangani kos sara hidup. Kami nak tahulah apa kamu nak buat, apa kamu dah buat selama 18 bulan (sebagai PM kelapan). Bukan takat nak menangani kos sara hidup tapi macam mana? Bukan hanya memainkan emosi oh teruknya kos sara hidup sekarang. Di sebelah PN, soal dia satu saja, iaitu nakkan kuasa.

“Sanusi ni menteri pun dia maki, wakil rakyat pun maki, gigi saya pun dia maki, inci (dikatakan merujuk kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari) pun dia maki, sultan pun dia biadab jugak, adik dia pun dia maki jugak sekali.

“PAS pula, dia nak kekal berkuasa dan dia nak tambah lagi kerajaan-kerajaan negeri supaya dia boleh letak banyak lagi orang dia dalam jabatan-jabatan kerajaan untuk makan gaji. Kepada PAS, membodohkan rakyat, berbohong kepada rakyat, tak ada masalah langsung demi untuk kuasa. Ini ‘Islam’ cara PAS,” tambahnya.

Kritikan Rafizi terhadap Azmin dan Syahir pula berkisar kepada cabarannya untuk mengadakan debat terbuka mengenai soal ekonomi dalam tempoh kempen PRN ini, yang bagaimapun ditolak sebelum Syahir mengubah pendirian untuk bersetuju pula kemudian.

Rafizi turut tidak ketinggalan menyentuh perbezaan PH dengan BN, yang dikatakannya meninggalkan luka dan parut tetapi kedua-duanya boleh bekerjasama dalam gabungan kerajaan perpaduan.

“Tapi kita faham ada satu perkara yang kita betul-betul bersetuju – bahawa kita perlu selamatkan negara ini kerana keadaannya memang dah parah. Kami perlu sama-sama muhasabah, perlu lupa dan maafkan yang lepas-lepas. Satu-satunya benda yang menggabungkan kami ialah kebajikan rakyat,” katanya.

Rafizi, yang mendakwa seboleh-bolehnya tidak mahu lagi meneruskan dalam politik kerana ketiadaan masa untuk bersama keluarga, akur bahawa masa depan rakyat dan negara jauh lebih penting.

“Kalau boleh, saya pun tak nak dah dalam politik sampai jadi gemuk sekarang. Anak dah jarang jumpa, saya dengan isteri pun jarang bercakap sekarang kerana tak ada masa. Jarang sekali ada di rumah, keluar dari pukul 7-8 pagi sampai 2 pagi tiap-tiap hari, sambung untuk 3-4 bulan tanpa berhenti tujuh hari seminggu.

“Saya kira perasaan saya itu tak penting. Masa depan rakyat, masa depan negara, itu jauh lebih penting. Kerana kami datang dan pergi, lama mana sangat nak jadi wakil rakyat. Tapi negara mesti berada di landasan baik dan betul,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan