Rasuah RM105,000 keluar surat warga asing, SPRM tahan penguat kuasa

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki dipercayai menerima rasuah RM105,000 berkaitan kes surat jaminan kemasukan warga asing ke Malaysia.

Sumber SPRM memaklumkan suspek ditahan di pejabat SPRM Selangor dan Pahang ketika hadir memberi keterangan kira-kira 1 tengah hari tadi.

“Suspek pertama berusia 30-an merupakan anggota penguat kuasa manakala suspek kedua yang berusia 40-an pula seorang pemilik syarikat.

“Mereka dipercayai melakukan kesalahan tersebut dari September hingga Disember tahun lepas,” katanya.

Menurutnya, kedua-duanya dipercayai menerima wang rasuah kira-kira RM105,000 bagi mendapatkan surat jaminan kemasukan warga asing ke Malaysia untuk bekerja sebagai pelaut sedangkan mereka bukan bekerja sebagai pelaut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) & 17 (b) Akta SPRM 2009.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok untuk permohonan reman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan