REE: Saifuddin setuju debat, Sanusi tolak

Malaysiakini

Personaliti televisyen Amin Idris memaklumkan tawarannya untuk mempertemukan dua tokoh politik dalam isu kecurian bahan nadir bumi (REE) di pentas debat telah dipersetujui Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, Amin berkata tawaran tersebut tidak disambut oleh menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

“Pihak Datuk Seri Saifuddin sudah bersetuju. Alhamdulillah. Dan tadi saya telah buat semakan susulan dengan pegawai Datuk Seri Sanusi dan beliau memaklumkan Datuk Seri Sanusi tidak setuju untuk hadir.

“Dan saya mohon semua hormati keputusan beliau,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, pengacara itu menawarkan diri untuk mempertemukan Saifuddin dan Sanusi di pentas debat.

Amin berkata ini selepas dia melihat Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN itu diasak bertalu-talu dalam isu kecurian REE di negeri yang ditadbirnya.

Menurutnya, The Amin Idris Show yang disiarkan di media sosial mencadangkan tarikh debat pada 7 Ogos depan atau bergantung pada persetujuan kedua-dua pihak.

Mengulas lanjut, Amin berkata pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua-dua pihak yang bekerjasama dengan baik sekali dalam memberi respon.

“Dan saya doakan yang terbaik untuk Datuk Seri Sanusi dan Datuk Seri Saifuddin,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin mendakwa Sanusi yang menerajui Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah mengetahui kegiatan mencuri REE yang berlaku di Bukit Enggang, Sik.

Saifuddin mendedahkan gambar Sanusi bersama seorang warga negara China yang dikehendaki pihak berkuasa berhubung kes kecurian sumber nadir bumi di Kedah.

Sebelum ini, Sanusi menafikan mengenali warga China itu tetapi kemudian mengakui pernah bertemu dengannya selepas Saifuddin mendedahkan gambar perjumpaan mereka.

Bagaimanapun, Sanusi berkata dia tidak terbabit urusan perlombongan itu kerana urusan warga China berkenaan dengan Pejabat Tanah dan Galian Kedah dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI).

Sanusi kemudian mengaitkan isu tersebut dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pernah mempelawa Sanusi untuk berdebat menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang melibatkan Kedah serta lima negeri lain pada 12 Ogos ini.

Bagaimanapun Sanusi - yang digelar 'panglima perang PN' oleh sesetengah pihak itu - menolak cabaran itu, berkata ia "tidak akan mengubah kedudukan ekonomi negara."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan