Tarian 'goyang gerudi' di PORT FEST 2023: Penganjur mohon maaf

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
RAKAMAN tarian penonton yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN tarian penonton yang tular di media sosial. FOTO tular
Ipoh: Pihak pengurusan agensi kreatif kerajaan Perak, PORT (People of Remarkable Talents) yang terpalit kontroversi konsert di depan Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena program PORT FEST 2023 Ahad lalu, tampil memohon maaf susulan insiden 'tarian ekstrem' oleh segelintir penonton yang tular di media sosial.

PORT menerusi kenyataan berkata, agensi itu sebagai penganjur ingin menjelaskan bahawa insiden terbabit sewaktu persembahan UBS Band adalah sesuatu yang bukan disengajakan atau diatur dan ianya berada di luar kawalan pihak penganjur.

"Pihak penganjur dengan ini memohon maaf sekiranya adegan tarian yang sedang ditularkan itu menyentuh sensitiviti sebahagian masyarakat. Kaedah penganjuran konsert seterusnya sedang dikaji agar peristiwa sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan," katanya hari ini.

Terdahulu, konsert sempena festival berkenaan heboh diperkatakan apabila tular rakaman video menunjukkan sekumpulan anak muda lelaki dan perempuan menari bersama-sama dalam keadaan kurang sopan tular di Twitter.

Adegan itu dikatakan berlaku semasa konsert pada malam kemuncak festival terbabit, seterusnya mencetuskan kritikan daripada warganet.

Rakaman tular itu turut menunjukkan sekumpulan lelaki memberikan isyarat untuk mengelilingi sekumpulan gadis yang bertudung untuk melihat giliran mereka membuat aksi seperti 'goyang gerudi'.

Sementara itu, PORT dalam kenyataan sama berkata, PORT FEST 2023 yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 19 dan 20 Ogos lalu adalah festival untuk mengetengahkan pelbagai sisi seni kreatif dan budaya.

Katanya, tujuan utama penganjurannya adalah memberi pendedahan serta peluang perniagaan kepada lebih 300 penggiat seni di Perak.

Menurutnya, PORT FEST 2023 berjaya menarik kehadiran kira-kira 20,000 orang pengunjung dan menjana manfaat kewangan sebanyak kira-kira RM450,000 menerusi jualan makanan, minuman, produk seni kreatif, acara persembahan, pameran dan pertandingan, serta penyewaan penginapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan