Terus terang atau hancur sebelum PRU16, amaran Isham buat Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil menyokong perhimpunan khas anjuran Pemuda Umno esok untuk merungkai permasalahan “senyap”, membawa kekalahan teruk parti itu pada PRN Sabtu lalu.

Beliau berkata Umno perlu berterus terang atau berdepan kehancuran sebelum PRU16.

“Saya sokong Pemuda Umno buat perhimpunan khas.

“Kita perlu berterus terang pada diri sendiri dan berani membuat perubahan di saat getir ini, jika tidak parti kita akan hancur sebelum PRU16,” katanya di Facebook.

Sehari selepas PRN yang menyaksikan Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi, bekas ketua penerangan Umno itu mendesak kepimpinan tertinggi membuat pertimbangan drastik khususnya kerjasama dengan DAP.

Isham berkata, kerjasama dengan DAP menyebabkan akar umbi Umno yang sensitif terhadap parti itu kecewa dan marah, sehingga wujudnya kelompok enggan keluar mengundi dan menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai undi protes.

Semalam, Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh berkata perhimpunan khas di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Kuala Lumpur, dijangka dihadiri lebih 1,000 pemimpin sayap berkenaan dari seluruh negara.

Beliau berkata, tujuan utama perhimpunan itu adalah untuk merungkai permasalahan “senyap” yang masih berlaku dalam Umno dan menyebabkan prestasi buruk pada PRN.

Umno menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor; dan satu kerusi di Kelantan.

Bagaimanapun, parti itu gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan