Tiada program solidariti untuk Mohd Amar - PAS Pengkalan Chepa

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: PAS kawasan Pengkalan Chepa menafikan dakwaan ada usaha untuk mengadakan program dan perhimpunan sebagai solidariti terhadap Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kerana tidak dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu.

Setiausaha PAS kawasan Pengkalan Chepa, Muhammad Abdul Munib Assyakirin Zakaria, berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya cubaan fitnah jahat berkenaan yang sengaja dimainkan pihak tertentu terhadap parti dan pimpinan PAS kawasan itu.

Katanya, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab.

"PAS kawasan Pengkalan Chepa menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 16 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan dalam melantik Menteri Besar bagi kerajaan negeri.

"Kami berpendirian teguh bersama keputusan Sultan Kelantan dengan sepenuh hati dan jiwa tanpa berbelah bahagi," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tersebar poster yang mendakwa PAS Pengkalan Chepa mahu menganjurkan perhimpunan solidariti buat bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar.

Mengulas lanjut Muhammad Abdul Munib, berkata, pihaknya reda dan dengan hati terbuka atas ketentuan Allah SWT dalam pelantikan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar serta yakin setiap ketentuan Allah SWT mempunyai hikmah.

Justeru, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Datuk Nassuruddin Daud dan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan di atas pelantikan sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar.

"Kami yakin dengan kemampuan dan kebijaksanaan kedua-dua pemimpin itu dalam melaksanakan tanggungjawab mengurus negeri dengan adil, amanah dan bijaksana.

"Semoga Allah SWT sentiasa mencucuri rahmat ke atas Sultan dan seluruh rakyat Kelantan. Kami juga mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan