ANWAR LETAK PENANDA ARAS YANG TINGGI UNTUK SESIAPA YANG ADA ANGAN-ANGAN NAK JADI PERDANA MENTERI

Shahbudin Husin

Menyaksikan ucapan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen semalam, paling ketara ialah beliau telah meletakkan tanda aras yang tinggi bagi sesiapa yang memegang jawatan tersebut.

Ertinya, pemegang jawatan Perdana Menteri mestilah seorang yang bertanggungjawab, tidak lari dari medan perjuangan, berani berdepan soalan lawan dan pantas melibas balik jika diserang atau dipertikaikan.

Berpuluh tahun lamanya kita tidak ada Perdana Menteri yang memiliki ciri-ciri sedemikian rupa.

Dulu, ketika era BN, hanya Tun Mahathir Mohamad yang ada kualiti seperti itu, cuma cara penyampaian beliau berucap terlalu biasa dan bersahaja.

Selepas Tun Mahathir – Tun Abdullah Badawi, Najib Razak, Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri Yaakob yang pernah menjadi Perdana Menteri kemudiannya, kita langsung tidak melihat terserlah kehebatan seorang Perdana Menteri dalam berhujah dan berdepan lawan, khususnya di Parlimen.

Najib sama sekali tidak berani membenarkan isu 1MDB dibahas di Parlimen, Mahiaddin pula menutup dan mendaruratkan Parlimen manakala Ismail Sabri, selain tiada kontroversi di era pentadbirannya, wataknya juga terlalu biasa seperti orang kebanyakan saja.

Selain itu, kita tentu faham sejauh mana kemampuan dan kewibawaan Ismail Sabri sendiri sebagai Perdana Menteri.

Berbeza dengan Anwar semalam, beliau telah menampilkan gaya berpidato seorang Perdana Menteri yang hampir sempurna.

Dari segi pidato, memang Anwar lebih hebat jika dibandingkan dengan Tun Mahathir.

Dalam keseluruhan ucapannya semalam juga, Anwar jelas tidak lari daripada semua isu semasa dan memberi jawapan yang penuh berfakta terhadap segala persoalan yang timbul dalam negara ketika itu.

Termasuk dijelaskannya ialah isu DNAA Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang jika ikut logiknya, tidak perlu lagi diberi penjelasan lanjut kerana ia adalah kuasa Peguam Negara menutusnya.

Bahkan, jika Anwar mahu memilih jalan selamat, isu DNAA itu lebih baik diserahkan saja kepada Azalina Othman Said, menteri yang bertanggungjawab dalam hal undang-undang saja untuk menjawabnya.

Namun, tidak demikian dengan Anwar kerana beliau terbukti seorang yang bertanggungjawab atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri, lalu memilih untuk tidak lari daripada memberi penjelasan berkaitan isu tersebut.

Agaknya kerana panas telinga dengan jawapan Anwar, lalu membuatkan seorang Ahli Parlimen blok pembangkang tiba-tiba “koyak” setelah kena libas, seterusnya terjerit-jerit perkataan “tarik balik”, “tarik balik” persis seorang budak sekolah rendah saja lagaknya.

Kemudian, seluruh blok pembangkang PN turut “terkoyak” dengan mereka keluar secara beramai-ramai meninggalkan Dewan Rakyat.

Kenapa mudah sangat mereka koyak?

Patutlah ketika jadi menteri semasa era PN sebelum itu, kerajaan ketika itu ditakrif sebagai gagal secara total.

Ketika ada kuasa dan berjawatan menteri, mereka tak berfungsi dan entah apa-apa yang dilakukan di kementerian yang diketuai, bila jadi pembangkang pula terlalu mudah koyak dan seolah-olah hanya memiliki hati selembut tisu.

Mudah kata, mereka ini tidak layak langsung jadi kerajaan, jadi menteri, jauh sekali untuk mengidam jawatan Perdana Menteri.

Kalau jenis ini jadi kerajaan, bakal kembali macam dululah perangai mereka.

Ketika Putrajaya (masa itu masih bertaraf senator lagi) jadi menteri, apa rekod pencapaian dan pernahkah kita dengar suaranya di Parlimen?

Kenapa setelah tiada kuasa baru nak bersuara dan tunjuk hero?

Yang nyata, dengan penampilan Anwar di Parlimen semalam, tidak mudah lagi bagi sesiapa berangan-angan untuk jadi Perdana Menteri selepas ini.

Sesiapa yang ingin jadi Perdana Menteri mesti ada keberanian, punya rasa tanggungjawab yang jitu, sedia berdepan lawan dan tidak lari daripada medan perjuangan.

Kalau rasa-rasa tiada ciri-ciri itu, lebih baiklah berhenti segera daripada berangan-angan nak jadi Perdana Menteri.

Jika tidak mampu menandingi Anwar, sekurang-kurangnya biarlah setara dan tidak lebih bawah daripadanya.

Perdana Menteri yang sekadar membaca perutusan khas, menghantar kenyataan media dalam bentuk pdf, tiada keberanian berhujah dan berdepan lawan, lebih-lebih lagi yang penakut dengan gelanggang Parlimen sehingga memilih jalan darurat, sudah tiada tempat lagi untuk masa depan Malaysia. – ShahbudinHusin 20/09/2023.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan