WAN SITI AMINAH
Orang-orang tua selalu berpesan untuk tidak menjemur pakaian pada waktu malam dengan alasan mudah terdedah kepada gangguan mistik seperti sihir.
Meskipun dakwaan itu tidak terbukti, namun perasaan khuatir pasti akan timbul khususnya bagi masyarakat Melayu yang begitu sinonim dengan kepercayaan mistik.
Sedar akan situasi itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri tampil memberi penjelasan mengenai amalan tersebut dari sudut agama Islam.
Menurutnya, tidak dinafikan bahawa umat Islam disunatkan untuk menghalang anak-anak kecil untuk keluar pada malam hari bermula dari waktu Maghrib.
Selain itu, kita juga dinasihatkan untuk menutup pintu-pintu, tingkap-tingkap, bekas-bekas air dan seumpamanya, di samping menyebut nama Allah ketika menutupnya.
Termasuk di dalam adab-adab Islam yang sahih, dikhuatiri mereka atau anak-anak kecil itu akan terkesan dengan kejahatan syaitan atau disakiti oleh syaitan.
Hal ini dipercayai berpunca daripada banyaknya makhluk halus atau syaitan yang mula berkeliaran untuk membuat onar pada waktu tersebut (waktu Maghrib).
Zulkifli bagaimanapun memaklumkan bahawa rutin menyidai pakaian di waktu malam sebenarnya tiada kaitan langsung dengan amalan yang disunatkan itu.
Sekadar ‘cerita’ yang disebarkan orang tua, tiada dalil yang menyokong atau mengesahkan bahawa rutin menjemur baju di waktu malam akan mendedahkan kita kepada sihir.
Oleh kerana tiada bukti atau dalil yang mengesahkan dakwaan itu, maka rutin menjemur dan membasuh baju di waktu malam akan kembali kepada hukum asal iaitu harus.
Hal ini bermakna, masyarakat Islam diharuskan untuk menyidai pakaian basah pada waktu malam sebagaimana diharuskan untuk menyidainya pada waktu siang.
“Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan agar seseorang Muslim itu memelihara hubungannya dengan Allah sebaik mungkin.
“Terus menjaga solat, zikir-zikir, amalan-amalan tertentu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW melalui hadith-hadith yang sahih dan seumpamanya.
“Dengan melakukan amalan-amalan soleh, kita akan tetap terpelihara daripada gangguan syaitan, sihir dan seumpamanya,” katanya.
Penjelasan itu dibuat Zulkifli menerusi artikel Adab & Akhlak: Soal Jawab Agama yang dimuat naik menerusi portal atas talian miliknya, maktabahalbakri.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan