Agensi
ZHANG tampil di balai polis bagi mengaku mencuri wang ibu bapanya. FOTO Agensi
Beijing: Tular di laman sosial China kisah kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menyerah diri di balai polis kerana mencuri wang ibu bapanya.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Zhang datang ke balai polis di Ningbo dekat wilayah Zheijiang ditemani bapanya pada 22 Ogos lalu.
Di balai polis itu, Zhang mengaku kesalahannya kepada polis.
"Ayah meminta saya datang menyerah diri," kata Zhang.
"Kesalahan apa yang kamu lakukan? Mengapa kamu datang untuk mengaku (kesalahan)?" soal dua anggota polis bertugas, Jiang Huoming dan Dong Zhuting.
Zhang kemudian menceritakan yang keluarganya memiliki kedai runcit dan bapanya pula mengehadkan kegemarannya memakan makanan ringan atas faktor kesihatan.
Kanak-kanak perempuan itu mengakui tetap berdegil jadi bertindak licik mencuri wang ibu bapanya kemudian meminta rakan sekelas membeli makanan ringan itu untuknya.
Zhang mencuri kira-kira 800 yuan (kira-kira RM512) namun muslihatnya terbongkar hingga menyebabkan bapanya membawanya ke balai polis.
"Sebenarnya, saya hanya ingin beri dia (Zhang) pengajaran. Jika dia mengambil wang dari rumah sekarang, ada kemungkinan dia akan melakukan yang sama apabila besar nanti.
"Saya tak mahu anak saya terjebak dengan kejahatan," kata bapa Zhang kepada polis bertugas.
Anggota polis bertugas kemudian memberi nasihat manakala Zhang mengangguk faham kemudian menulis surat sebagai aku janji untuk tidak mengulangi perbuatannya serta memohon maaf kepada bapanya.
"Saya tidak akan mencuri lagi wang ibu bapa saya, tidak akan menipu siapa pun, akan belajar dengan rajin dan berhenti bermain ketika di kelas," tulisnya dalam surat berkenaan lengkap dengan tandatangan dan polis bertugas sebagai saksi.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan