Dewan Rakyat kecoh, Takiyuddin didakwa fitnah PM

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 
Sidang Dewan Rakyat berlangsung agak kecoh  pagi ini apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) didakwa cuba memfitnah Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Dewan.

Sim Tze Zin (PH-Bayan Baru) ketika membangkitkan peraturan mesyuarat berkata, Takiyuddin mengeluarkan tuduhan tidak berasas apabila mendakwa Perdana Menteri ketika berkempen pada PRN lalu, menyalahgunakan jentera kerajaan berupa tiga buah helikopter untuk menghadiri sebuah program di Sungai Besar.

Takiyuddin mendakwa, Jabatan Kerja Raya terpaksa menghabiskan berpuluh ribu untuk membuat helipad bagi membolehkan Perdana Menteri mendarat di situ.

Ucapannya kemudian diselar blok kerajaan yang mengatakan Takiyuddin bercakap tanpa fakta sebenar, dan hanya mengambil apa yang dimainkan oleh cybertroopers Perikatan Nasional.

“Peraturan 36(6), ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat terhadap ahli berhormat yang lain. Tadi Kota Bharu membuat fitnah kerajaan (JKR) belanja berpuluh ribu ringgit buat helipad hanya untuk membolehkan PM mendarat.

“Itu sangka jahat. Kena tanya dulu adakah fakta itu betul ke tak. Kalau tak betul kena tarik balik.

“Apa yang Kota Bharu sebut tadi semua daripada cybertroopers mereka. Mereka boleh buat apa-apa tuduhan tetapi tak berasas. Jangan ikut laporan dari Facebook dan TikTok mereka. Ini Dewan mulia tak boleh bawa apa-apa yang diperkata netizen dijadikan sebagai kebenaran. Itu bukan satu kebenaran,” ujarnya.

Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) turut membangkitkan peraturan mesyuarat sama mendakwa Takiyuddin menimbulkan sangkaan jahat apabila mengaitkan tindakan Perdana Menteri yang tidak mahu kereta baharu kerana mahukan helikopter.

“Ini tidak benar. Itu sangkaan jahat terhadap Yang Berhormat Tambun,” ujarnya.

Sebelum itu Takiyuddin dalam ucapannya menyindir mengatakan Perdana Menteri menolak peruntukan baik pulih kediaman dan juga kereta kerana mahukan sebuah helikopter.

“Sebenarnya tidak mengambil peruntukan kereta, kena-kena dia nak ambil helikopter,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan