E-hailing Pati

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
KENDERAAN Toyota Velfire yang dipandu remaja membawa kepada penemuan 25 Pati di Jalan Selinsing, ibu kota. Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui 19 lelaki dan enam wanita berusia 15 hingga 39 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.
KENDERAAN Toyota Velfire yang dipandu remaja membawa kepada penemuan 25 Pati di Jalan Selinsing, ibu kota. Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui 19 lelaki dan enam wanita berusia 15 hingga 39 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.
Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan manusia kini 'melantik' pemandu e-hailing warga tempatan sebagai tekong darat atau transporter bagi memudahkan urusan mereka membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia ke lokasi tertentu.

Mereka dikesan bergiat aktif di kawasan laluan tikus seperti di Port Dickson, Negeri Sembilan dan juga Kuala Selangor, Klang di Selangor serta Tanjung Sedili, Johor.

Mendedahkan kepada Harian Metro, sumber keselamatan berkata, modus operandi itu dikesan aktif di sekitar kawasan pendaratan Pati.

"Warga asing ini akan transit dahulu di rumah transit, bagi mengurangkan risiko aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa, sindiket itu kemudiannya akan menggunakan khidmat pemandu e-hailing untuk mengambil warga asing terbabit ke tempat yang ingin dituju.

"Sindiket akan membayar harga yang lagi mahal berbanding tambang mengikut aplikasi perkhidmatan berkenaan menyebabkan ramai pemandu e-hailing sanggup mengambil penumpang warga asing berkenaan walaupun tahu ia adalah satu kesalahan," katanya.

Menurutnya, pemandu e-hailing dibayar dari RM500 sehingga RM1,500 bergantung kepada lokasi yang ingin dihantar.

"Sebagai contoh, sindiket akan membayar RM1,000 kepada pemandu untuk membawa Pati ke Kedah.

"Selain itu, sindiket turut menawarkan pekerjaan tetap atau merekrut pemandu e-hailing yang dipercayai mereka," katanya.

Menurutnya, ada juga kereta 'prebet sapu' yang didapati menyamar sebagai kenderaan e-hailing dan mempunyai hubungan dengan pihak sindiket.

"Terdapat juga aktiviti prebet sapu untuk membawa warga asing keluar dari rumah transit.

"Mereka ini akan dihubungi pihak sindiket sekiranya Pati mendarat di negara ini.

"Prebet sapu turut menggunakan pelekat e-hailing bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Wartawan Harian Metro turut meninjau di beberapa lokasi di Klang yang menjadi tumpuan pemandu e-hailing.

Kebanyakan mereka didapati tidak memeriksa dokumen penumpang terlebih dahulu kerana panggilan dibuat menerusi akaun warga tempatan.

Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, kehadiran kenderaan pemandu e-hailing yang ramai menimbulkan tanda tanya penduduk setempat.

"Pelik juga kalau kawasan sekitar pesisir Klang sehingga ke Banting, banyak kenderaan masuk, jika kita lihat penduduk disini kebanyakan mempunyai kenderaan sendiri.

"Boleh tengok di kawasan Pulau Carey dan beberapa kawasan di Banting, banyak kenderaan menunggu dengan pelekat e-hailing dipaparkan pada kenderaan masing-masing," katanya.

Ambil risiko dek upah tinggi

Menerima upah dengan kadar tinggi bagi membawa migran ke destinasi yang ingin dituju.

Itu antara punca pemandu e-hailing sanggup merisikokan diri walaupun sudah mengetahui ia menjadi satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dikesan menerusi beberapa tangkapan terhadap pemandu e-hailing oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hasil siasatan didapati sindiket sanggup membayar sehingga RM500 bagi satu kepala kepada pemandu e-hailing bagi membawa pendatang asing tanpa izin ke destinasi masing-masing.

"Memang tidak dinafikan, sindiket penyeludupan migran kini dikesan menggunakan khidmat pemandu e-hailing untuk menghantar Pati ke sesuatu destinasi.

"Sehingga Ogos lalu terdapat enam kes tangkapan membabitkan pemandu e-hailing yang membawa migran dari lokasi transit ke lokasi yang ingin dituju," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, walaupun kegiatan itu masih berada pada tahap yang rendah namun polis sentiasa memantau dan melakukan pemeriksaan terhadap pemandu dan penumpang e-hailing.

"Pada tahun ini terdapat enam kes membabitkan lapan tangkapan iaitu tujuh lelaki dan satu wanita dipercayai pemandu e-hailing.

"Mana-mana individu yang terbabit dalam jenayah ini akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

"Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya," katanya.

Menurutnya, polis menasihatkan kepada pemandu e-hailing untuk tidak terbabit dalam kegiatan ini walaupun sindiket menawarkan pulangan yang lumayan.

"Jenayah penyeludupan migran ini boleh mengancam kedaulatan negara. PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana sindiket atau individu yang terbabit dengan menggunapakai segala peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan