KJ nasihati PN hati-hati apabila berdebat dengan Anwar

Malaysiakini

Bekas ketua pemuda Umno yang dipecat Khairy Jamaluddin menasihatkan anggota parlimen Perikatan Nasional (PN) supaya berhati-hati ketika berdebat dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, Anwar berbeza dengan beberapa perdana menteri sebelum ini yang berpenampilan “seperti negarawan” walaupun ketika diprovokasi dalam parlimen.

"Kalau perdana menteri sebelum dia tak akan terlibat pertikaman lidah seperti ini. Mungkin itu baik atau tidak baik.

"Tetapi, PMX (Anwar), dia antara perdana menteri yang suka provokasi balik, kerana latar belakang pejuang jalanannya.

“Jadi, berhati-hati bila nak terlibat debat dengan PMX," katanya dalam rancangan bual bicaranya di Youtube.

Khairy merujuk kepada perang mulut di parlimen setelah Radzi Jidin (PN-Putrajaya) tidak puas hati dengan tuduhan Anwar terhadapnya.

Insiden itu berlaku selepas Anwar didakwa membuat kenyataan provokasi terhadap Radzi dengan ketawa semasa menjelaskan keputusan mahkamah melepas  tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy berkata bahawa Radzi “jatuh dalam perangkap” Anwar.

"Pada pandangan saya perbahasan yang serius begitu yang dibincangkan di seluruh negara sepatutnya perlu sebagai satu sesi pembahasan yang lebih bertamadun. 

"Tapi, nak salahkan satu pihak tak adil. Sebab ada provokasi kedua-dua bela pihak dan sangat malangnya, ia  menjadi begitu," katanya.

Hos bersama Khairy, dalam program 'Keluar Sekejab' itu, Shahril Hamdan turut bersetuju. Katanya, Radzi mungkin menjaringkan "gol sendiri", apabila bertindak seperti apa yang berlaku di Dewan Rakyat.

"Dalam episod ini, kalau Radzi buat seperti mana Khairy cadangkan iaitu memberikan jawapan yang pantas dan duduk diam sahaja, banyak fokus akan pergi kepada provokasi PM itu sendiri," katanya.

Mengenai DNAA, Khairy berkata isu berkenaan kini berada di pandangan umum kerana kebanyakan pihak berkaitan, termasuk Anwar, telah mengupasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan