Langkah namakan Adly strategi kukuhkan jawatan Mat Sabu - sumber

N Faizal Ghazali

Cadangan menonjolkan Adly Zahari sebagai calon menteri dari Amanah baru-baru ini dilihat tidak sekadar mengisi kekosongan ditinggalkan Allahyarham Salahuddin Ayub.

Sebaliknya beberapa pihak mendakwa saranan itu sengaja dibuat sebagai sebahagian daripada percaturan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, menghadapi pemilihan dalam parti itu tidak lama lagi.

Beberapa sumber memberitahu, kedudukan Mohamad selaku presiden Amanah ketika ini tidak begitu kukuh dan ada kemungkinan dia dicabar bagi menghidupkan amalan demokrasi parti.

Beberapa sumber juga mendakwa rasa tidak puas hati terhadap Mohamad mula dikesan secara ketara di peringkat bawah.

Bagi mengekang gerakan itu, dakwa sumber terbabit, nama Adly ditonjolkan oleh kem Mohamad berdasarkan kedudukan dan hubungan baik kedua-dua pemimpin terbabit.

“Kemungkinan Adly juga akan diangkat sebagai timbalan presiden sekiranya Mat Sabu (Mohamad) berjaya mempertahankan jawatan presiden.

“Jadi pemilihan Adly bagi menggantikan posisi Salahuddin di kabinet merupakan strategi Mat Sabu untuk memperkuatkan pasukannya berdepan pemilihan,” kata sumber yang enggan disiarkan namanya kepada Malaysiakini.

Pelopori pendekatan rahmah

Adly merupakan salah seorang naib presiden Amanah dan pernah menjadi ketua menteri di Melaka. Dalam PRU lalu dia bertanding bagi kerusi parlimen Alor Gajah.

Dia kemudian dilantik menjadi timbalan menteri pertahanan.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Adly dijangka dinamakan sebagai calon mengisi jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN) yang baru.

Seorang lagi sumber dalaman memaklumkan Mohamad dijangka berdepan saingan daripada Mujahid Yusof yang menjadi calon kem yang tidak sehaluan dengannya.

Mujahid juga kini merupakan salah seorang naib presiden Amanah dan pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2018.

Kata sumber itu, gerak kerja untuk memenangkan bekas ahli Parlimen Parit Buntar itu digerakkan oleh aktivis Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengaruh.

“Ada gesaan supaya presiden digantikan, justeru platform Ikram - sebagai NGO berpengaruh - dilihat cuba mencaturkan hala tuju Amanah dalam usaha mereka yang mempelopori pendekatan rahmah.

“Konsep rahmah menjadi salah satu teras dalam dasar visi Amanah, manakala Mujahid pula antara pemimpin yang bersungguh-sungguh memperkenalkan konsep tersebut,” katanya.

Untuk rekod Amanah akan mengadakan pemilihan peringkat nasional pada 23 dan 24 Dis ini.

Tak semua setuju

Tempoh kira-kira tiga bulan yang ada itu digunakan oleh para pemimpin parti itu menggerakkan strategi dan kempen masing-masing.

Perlembagaan Amanah menetapkan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut. Jika Mohamad terpilih sekali lagi, ia merupakan penggal terakhirnya untuk mengetuai parti tersebut.

Dalam perkembangan sama, sumber lain mendakwa Mohamad tidak membawa cadangan menamakan Adly sebagai menteri dalam pebincangan parti.

“Presiden menamakan Adly tanpa diputuskan dalam mesyuarat kerana Adly dianggap pimpinan paling rapat dengannya. Ini adalah langkah menjelang pemilihan.

“Beberapa negeri sudah sedia untuk tidak berpihak kepada presiden sekarang.

"Langkah kontingensi presiden sekarang ialah, daripada hilang semua, lebih baik kedepankan Adly sebagai pengganti yang direstui.

“Tetapi tak semua restu percaturan itu," dakwanya.

Tambah sumber itu, Mohamad juga mengambil pendekatan sama ketika menerajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Menurutnya, Mohamad hanya melantik individu-individu yang rapat dengannya untuk mengisi pelbagai jawatan agensi kerajaan di bawah kementerian agar hegemoninya kekal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan