Isu pembekuan pekerja asing: Kenyataan menteri bercanggah
B Nantha Kumar
Kementerian Sumber Manusia(KSM) masih tidak membuat sebarang ketetapan berhubung pembekuan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor.
Menterinya V Sivakumar berkata ini jumlah pekerja asing di Malaysia telah melebihi sasaran yang ditetapkan.
"Kita belum buat ketetapan mengenai pembekuan pekerja asing. Pekerja asing yang ada sekarang ini bukan hanya yang dibawa masuk baru. Tetapi, adalah mereka yang telah lama bekerja di sini dan satu lagi mereka yang terlibat dalam proses rekalibrasi.
"Apabila ketiga-tiga dicampur jumlahnya sudahpun melebihi sasaran yang kita telah tetapkan.
“Jadi, sebab itu kita akan meneruskan pembekuan untuk sementara waktu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran program lestari niaga di Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, pembekuan dibuat untuk memastikan peluang pekerja tempatan tidak terjejas.
Bagaimanapun, kenyataan Sivakumar bercanggah dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution bahawa negara memerlukan sekitar 100,000 pekerja asing, khususnya bagi lima sektor kritikal.
Pembekuan itu dikuat kuasa sejak 18 Mac 2023.
Sivakumar ketika itu mengumumkan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Katanya, ini susulan kerajaan meluluskan sebanyak 995,396 kuota penggajian pekerja asing setakat 14 Mac 2023.
Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata seramai 400,000 pekerja asing sudah dibawa masuk ke negara ini bagi mengisi pekerjaan di lima sektor utama iaitu pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian.
Dia berkata demikian pada pada 27 Jun, selepas mempengerusi mesyuarat jawatankuasa bersama mengenai pengurusan pekerja asing kelapan yang turut dihadiri Sivakumar.
Menurutnya, angka 400,000 itu adalah hasil dua dasar sebelum ini iaitu kelonggaran bagi kelulusan pekerja asing dan program rekalibrasi awal dilaksana awal tahun ini.
Katanya, walaupun kerajaan akan berusaha untuk mencapai sasaran 500,000 bagi lima sektor dalam suku kedua selepas tidak mencapai pada suku pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan