Minta Dipecat Tapi Tak Berani Hadir Mesyuarat, Isham Jalil Berjiwa Kecil

Shahbudin Husin

Di sebalik ura-ura akan dipecat daripada UMNO dalam mesyuarat MT malam semalam, tetapi akhirnya tiada apa-apa berlaku kepada Isham Jalil.

Ahli MT UMNO itu bukan saja tidak dipecat, bahkan tiada perbincangan mengenai dirinya dibawa dalam mesyuarat yang diadakan di Menara Dato’ Onn, WTCKL itu

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan tiada perbincangan mengenai pemecatan Isham pada mesyuarat malam semalam itu.

Dengan ini, nasib Isham masih dikira selamat lagi dalam UMNO.

Begitu pun, sementara isu berkenaan dirinya tidak dibincangkan, Isham turut tidak menghadirkan diri pada mesyuarat malam semalam yang dipengerusikan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi itu.

Sebelum ini, Isham berkata dia mungkin antara yang akan dipecat sebagai ahli MT UMNO kerana tidak sehaluan dengan pendirian UMNO untuk bekerjasama dengan PH yang ada DAP di dalam ketika pilihan raya.

Selain isu pemecatan beliau menjadi bualan menjelang mesyuarat MT diadakan, Isham sendiri beberapa jam sebelum mesyuarat malam semalam turut menulis warkah terbuka kepada Presiden UMNO di laman sosialnya dengan menyatakan kesediaannya untuk dipecat.

“Dato’ Sri boleh pecat saya jika itu kemahuan Dato’ Sri, tapi Dato’ Sri tidak boleh pecat roh dan semangat perjuangan saya,” demikian kata akhir beliau di hujung warkah terbukanya itu.

Ternampak macam beliau ini berani sangat dan seperti mencabar Zahid Hamidi agar memecatnya, rupa-rupanya keberaniannya tidaklah setara mana.

Kalau betul-betul berjiwa kental dan terlanjur sudah berani menyanggah Presiden UMNO, kemudian seolah-olah mencabar pula untuk dipecat, sepatutnya beliau mesti beranilah juga menghadiri mesyuarat MT.

Dengan tidak hadir, walaupun isu berkenaan diri beliau akhirnya tidak dibincangkan, apa yang ternampak ialah Isham hanya berjiwa kecil.

Ketiadaan kelibatnya hadir itu tentunya membuatkan Zahid Hamidi tersenyum kecil meraikan kemenangan awalnya.

Agaknya dalam hati Zahid Hamidi berkata, “takut rupanya dia nak berdepan dengan saya.”

Cuba beliau hadir mesyuarat MT malam semalam dan dengan tiada tindakan diambil terhadapnya, bukankah beliau sudah dikira menang pertarungan pusingan pertama?

Andai kata jika dipecat pula malam semalam itu, dengan hadir itulah peluang terbuka untuk Isham meluahkan sesuatu sebagai kata-kata akhir sebelum meninggalkan bilik mesyuarat.

Setidak-tidaknya beliau dilihat hero yang sebenar yang berani di belakang dan berani juga untuk bersemuka.

Ini tidak, hanya berani menulis di FB tetapi tidak berani pula untuk bersemuka.

Tetapi, tidak dipecat pada mesyuarat MT malam semalam, tidak bermakna Isham tidak akan dipecat pada mesyuarat selepas ini atau bila-bila masa kemudiannya.

Sementara jika hadir pada mesyuarat MT selepas ini, Isham sudah jadi seperti “kera sumbang”, apakah beliau akan terus memilih tidak hadir sehingga namanya disingkir? – ShahbudinHusin 14/09/2023.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan