Mufti Kelantan tegur ahli politik: Jangan sewenangnya keluar ‘fatwa haram’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad menegur tindakan sesetengah ahli politik yang kurang tertib dalam berkata-kata hingga mengeluarkan ‘fatwa haram’ kepada pihak tertentu dengan sewenang-wenangnya.

Shukri yang tidak merujuk mana-mana pemimpin secara khusus, berkata tindakan itu akhirnya akan mengundang permusuhan dan sengketa.

Beliau turut mengingatkan pemimpin politik supaya tidak menggunakan peluang berkempen untuk menjatuhkan satu sama lain tetapi mengetengahkan isu serta usaha yang mahu dilakukan.

“Bercakaplah hal politik (dan) siasah. Siasah ini adalah usaha untuk membangunkan negara. Bagi pandangan saya, lebih baik kita mengetengahkan isu dalam kempen (mengenai) apa yang mahu dibuat dan tidak menggunakan kempen untuk menjatuhkan satu sama lain.

“(Saya setuju) kalau tuduh menuduh itu seolah-olah sudah (dilihat) perkara biasa, bukan baharu. Tetapi yang kita tak mahunya kalau diseret kepada hal yang menyentuh hukum,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, pada satu ceramah, Muhyiddin dilaporkan berkata adalah haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat sehingga menimbulkan pelbagai reaksi.

Sementara itu, Shukri berkata penyokong parti dan pemimpin tertentu juga diingatkan tidak bertindak di luar kawalan dengan memainkan serta memperbesar isu tertentu, yang akhirnya hanya mengundang perbalahan sesama sendiri.

“Penyokong pun kita mengharapkan (perkara sama)…sudah 66 tahun negara merdeka, maknanya kita sudah berada dalam situasi dewasa yang boleh berfikir dengan matang. Jadi masing-masing ketengahkanlah program (yang ingin dibuat) tanpa menghujah tentang isu peribadi.

“Maksudnya, bentangkan apa yang mahu dibawa (jika pemimpin atau parti mereka menang). Sebab, saya bimbang, takut kita menghujani peluru sesama sendiri, tenaga umat Islam akan terbuang begitu saja. Fikiran, tenaga, potensi, kemampuan umat Islam hangus dibakar oleh kita sesama sendiri.

“Sepatutnya kelebihan yang ada pada masing-masing itu kita bangunkan, bukan kita menghujani peluru untuk menghancurkan sesuatu pihak. Jadi kita takut, kalau kita tak berhati-hati, kita akan hilang segalanya,” katanya.

Shukri berkata sejarah umat Islam terbukti bahawa kejatuhan mereka berpunca daripada perselisihan dan perpecahan sesama sendiri.

“Sudah jelas, sepanjang sejarah umat Islam perselisihan dan perpecahan akhirnya mengakibatkan atau menjadi faktor penyebab kepada kemunduran dan ketinggalan umat Islam itu sendiri.

“Perkara ini kita harus prihatin, jangan merumitkan keadaan atau pertembungan yang berlaku dalam kelompok umat ini, lebih-lebih lagi dengan memperbesarkan isu yang tak patut dibesarkan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan