Pegawai Rara buat laporan terhadap Adun PAS berkait 3R

Bernama
Adun Jengka Shahril Azman Abd Halim didakwa membuat kenyataan menyentuh hak Bumiputera selain turut menyentuh nama Presiden Umno Zahid Hamidi dan DAP. (Gambar Facebook)
KUANTAN: Pegawai khas Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman membuat laporan polis terhadap Adun Jengka Shahril Azman Abd Halim yang didakwa memainkan sentimen 3R (kaum, agama dan institusi diraja) di akaun TikTok beliau.

Laporan itu dibuat Ahmed Wafiuddin Shamsuri di Balai Polis Manchis, Bentong petang ini.

Wafiuddin mendakwa, Shahril membuat kenyataan menyentuh hak Bumiputera selain turut menyentuh nama Presiden Umno Zahid Hamidi dan DAP.

“Pemilik akaun ini jelas menyebarkan satu fitnah jahat dan memainkan sentimen 3R yang bahaya dan boleh mengganggu-gugat ketenteraman serta (menimbulkan) kegusaran dalam masyarakat,” katanya menerusi WhatsApp kepada Bernama.

Wafiuddin juga mendakwa video itu turut menunjukkan Shahril yang merupakan Adun PAS, sedang berkempen di Felda Sungai Kemahal yang terletak dalam DUN Pelangai, sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan bagi PRK kawasan berkenaan.

PRK Pelangai diadakan susulan penyandangnya Johari Harun, 53, terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor, 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya itu berlangsung pada 7 Okt dengan hari penamaan calon pada 23 Sept manakala pengundian awal 3 Okt ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan