PH, MB, Anwar perlu nasihatkan sultan ampunkan Wan Ji - LFL

Malaysiakini

Kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) harus menasihatkan Sultan Selangor supaya mengampunkan pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin yang sedang menjalani hukuman penjara sembilan bulan kerana kesalahan hasutan.

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek dalam satu kenyataan berkata, ini selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah Perkara 42(4)(b), Sultan memberi pengampunan atas nasihat Lembaga Pengampunan Selangor. Dan menurut Perkara 42(5), Menteri Besar Selangor adalah ahli Lembaga Pengampunan,” katanya.

Selain PH dan Menteri Besar, Amirudin Shari yang mewakili PKR, Zaid berkata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim juga tidak boleh berdiam diri. 

“Ketika menjadi pembangkang, Anwar telah bercakap secara khusus dalam kes Wan Ji. Pada 2019, Anwar telah mengeluarkan kenyataan membantah pensabitan Wan Ji atas dakwaan  menghasut oleh Mahkamah Tinggi. 

“Menurutnya  hukuman itu "keras" dan "tidak konsisten dengan peralihan demokrasi". Kini Anwar sebagai Perdana Menteri berada dalam kedudukan untuk membetulkan ketidakadilan yang dilakukan terhadap Wan Ji,” kata Zaid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan