HarapanDaily.com
SITI NUR ZAWANI
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menyelar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pemimpin pembohong nombor satu.
Ia berikutan kenyataan Sanusi yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapat perhatian pemimpin dunia ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York.
Puad berkata, beliau menyaksikan sendiri bahawa Anwar mendapat sembilan kali tepukan gemuruh ketika sedang berucap dan mendapat perhatian pemimpin-pemimpin dunia yang menghadiri perhimpunan berkenaan.
“PMX diberi sembilan kali tepukan gemuruh dalam ucapan 15 minit itu. Mukadimah sahaja dapat tepukan gemuruh bila PMX sentuh perang Russia-Ukraine yang beri kesan buruk kepada global.
“Ketika Presiden Iran berucap, dia mengangkat Al Quran tetapi tidak ada siapa yang tepuk tangan. Ucapan Presiden Amerika juga tiada sambutan dari perwakilan.
“Perdana Menteri New Zealand beritahu dia rasa lega kerana orang ketiga berucap selepas Anwar. Dia rasa tenggelam jika berucap lepas Anwar,” kata Puad dalam hantaran di Facebook.
Sebelum itu Sanusi mendakwa situasi dewan yang lengang ketika Anwar berucap menyampaikan Kenyataan Negara minggu lalu, cukup memalukan.
Beliau mendakwa, para perwakilan tidak mengikuti ucapan Anwar kerana dunia antarabangsa sudah mengetahui Anwar seorang pembohong.
“Kenapa tak ada orang? Sebab orang luar pun tahu dia kuat membohong, daripada dengar lebih baik keluar. Sebagai rakyat Malaysia, kita patut malu kerana ketika berucap di UNGA orang tak mahu dengar,” kata Sanusi.
Terdahulu dilaporkan, giliran Anwar adalah selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu – di mana ketika Netanyahu berucap, para perwakilan kebanyakannya keluar dewan sebagai tanda protes
Bagaimanapun mereka kemudian mula memenuhi dewan ketika giliran Anwar untuk berucap.
Sementara itu Puad dalam hantarannya turut berkongsi beberapa keping gambar suasana dewan ketika Anwar sedang menyampaikan Kenyataan Negara, sekaligus menepis dakwaan Sanusi bahawa para perwakilan keluar ketika Anwar berucap.
“Astaghfirullah. Itu kata hati nurani saya bila mendengar komen Sanusi mengenai ucapan Anwar Ibrahim di UNGA ke 78 di New York.
“Ternyata Sanusi kaki fitnah apatah lagi guna gambar gambar tanpa usul periksa. Saya rakam banyak foto yang saya lampirkan.
“Sanusi Menteri Besar. Oleh kerana saya saksi hidup maka dia wajar digelar “pemimpin pembohong” nombor satu Malaysia,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan