Rakyat Malaysia ditahan di Norway disyaki mengintip

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Norway kerana disyaki mengintip pejabat perdana menteri, kementerian pertahanan dan beberapa pejabat kerajaan negara itu.

Menurut Norwegian Broadcasting (NRK), lelaki itu dipercayai cuba memintas komunikasi elektronik pejabat itu sebelum ditahan pada malam Jumaat lalu, lapor NewsInEnglish.

Kata laporan itu, suspek akan ditahan sekurangnya empat minggu sementara siasatan diteruskan dan untuk dua minggu pertama dia akan diasingkan.

Pendakwa raya NorwayThomas Fredrik Blom memberitahu NRK, pengasingan itu perlu kerana terdapat risiko tinggi bukti diubah.

Agensi polis perisikan Norway (PST) berkata lelaki itu beberapa kali dirakam berada dalam kereta sewanya di luar beberapa pejabat kerajaan.

Lelaki itu dilaporkan dituduh atas dakwaan cuba memintas isyarat elektronik termasuk perbualan telefon bimbit dan pesanan teks.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan lelaki tersebut oleh pihak berkuasa Norway.

“Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes ini.

“Kementerian Luar juga akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya jika perlu,” kata kenyataan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan