Sedarkah, kita sudah ‘dijajah’ semula?

INIKAH imej bandar raya Kuala Lumpur yang ingin kita banggakan, iaitu sebuah ibu kota dibanjiri terlalu ramai warga asing? – UTUSAN/AMIR KHALID
Oleh Meja Rencana

SAUDARA PENGARANG,

PENGUASAAN ekonomi warga asing sudah sampai ke tahap membimbangkan bilamana ia turut dipaparkan dalam media massa oleh wartawan yang membuat tinjauan.

Bukan sahaja isu tapak perniagaan yang dimiliki oleh warga tempatan berpindah kepada warga asing seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Petaling, Jalan Silang dan Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur dan Pasar Harian Selayang, Selangor, malah ia merebak ke tempat-tempat lain di seluruh negara.
Aduan seorang pembaca di ruangan ini baru-baru ini sama ada warga asing yang berniaga di bandar Batu Pahat, Johor memiliki lesen atau tidak.

Batu Pahat adalah bandar ke-16 terbesar di negara ini dari segi jumlah penduduknya. Ia juga bandar kedua terbesar dalam Johor selepas Johor Bahru.

Kita dapat melihat kerakusan warga asing ini ‘menjajah’ Malaysia dengan menjalankan perniagaan sehingga ada yang menjadi bos dan boleh menggaji rakyat tempatan pula.

Penguasaan mereka di sektor ekonomi dilihat banyak membawa keburukan kepada kehidupan rakyat tempatan dan secara langsung menggugat pengusaha tempatan untuk meraih keuntungan dalam perniagaan.

Adakah ini penjajahan bentuk baharu dalam bidang ekonomi dan seterusnya menguasai sesebuah negara tanpa menakluk menggunakan senjata sepertimana era dasar imperialisme Barat dahulu?

Bagi saya, kerajaaan perlulah bertegas dan harus segera menggunakan saluran undang-undang agar isu kebanjiran warga asing melibatkan diri dalam perniagaan secara haram ini dijadikan agenda besar negara.

Antara bidang ekonomi yang dilihat banyak diceburi warga asing adalah menjual pakaian, kedai runcit, membasuh kereta dan menjual sayur-sayuran.

Jika berkunjung ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Petaling, Jalan Silang dan Jalan Chow Kit, kita dapat merasakan seolah-olah berada di luar negara. Ini kerana semua kedai dikendalikan oleh peniaga warga asing.

Adakah suasana ini baik untuk rakyat dan ekonomi negara ini? Adakah semuanya memiliki lesen dan jika ya, persoalannya, kenapa begitu mudah pula diluluskan?

Selain itu, dapat dilihat kedai-kedai warga asing ini jelas telah melanggar peraturan pelesenan seperti tidak menjaga kebersihan. Warga asing dilihat suka-suka mengubah suai premis perniagaan dan membuang sampah merata- rata tanpa menitikberatkan aspek kebersihan.

Selain itu, digunakan bahasa mereka pada papan tanda premis perniagaan tanpa menggunakan bahasa Melayu. Ini sudah melanggar syarat pelesenan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

Inikah imej bandar raya Kuala Lumpur yang ingin kita banggakan, iaitu ibu kota yang kotor dan dibanjiri terlalu ramai warga asing bukan untuk melancong tetapi berniaga?

Selain itu, tiada negara di dunia di mana rakyatnya suka kepada warga asing yang melanggar undang-undang telah ditetapkan.

Akhirnya, kita tidak mahu kegiatan warga asing khususnya yang terlibat dalam perniagaan haram akan merosakkan kehidupan rakyat dan mencetuskan satu malapetaka ekonomi kepada negara.-UTUSAN

APA YANG DIBANGGAKAN
Temerloh, Pahang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan